Saksi: Saya hanya tahu ada Aabar 'palsu' ketika disoal pihak berkuasa
KES 1MDB NAJIB | Bekas ketua pegawai kewangan (COO) 1MDB Azmi Tahir berkata dia hanya sedar kewujudan Aabar Investments PJS "palsu" ketika disoal siasat pihak berkuasa pada 2015.
Azmi berkata demikian ketika perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Azmi yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 memberi bukti lisan yang dia tidak sedar jutaan dolar AS dimasukkan ke entiti yang didaftarkan di Seychelles, yang mempunyai nama sebenar dengan Aabar Investments PJS "sebenar".
Ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya T Deepa Nair, Azmi berkata meskipun ketika Jabatan Audit Negara (JAN) mula menjalankan audit terhadap hal ehwal 1MDB pada 2015, dia diberitahu oleh timbalannya ketika itu, Terence Geh bahawa kedua-dua Aabar adalah subsidiari sah di bawah International Petroleum Investment Company (IPIC).
Terdahulu, dilaporkan yang skandal kewangan melibatkan penyelewengan berbilion ringgit melibatkan usaha sama (JV) antara 1MDB dan IPIC.
Usaha sama itu berlaku ketika Najib menjadi perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Baca: Jho Low beritahu Najib jangan cakap banyak pada juruaudit - saksi
Pihak pendakwaan berhujah yang menerusi aliran wang yang berbelit merangkumi empat fasa selama beberapa tahun, sebahagian daripada dana 1MDB berakhir di akaun peribadi Najib.
Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah yang Najib tidak tahu-menahu akan sebarang salah laku dalam 1MDB dan mendakwa salah laku tersebut dilakukan oleh Jho Low dan beberapa kakitangan syarikat itu.
Hari ini, Azmi dalam keterangannya berkata Geh menunjukkannya apa yang didakwa sebagai dokumen rasmi (incumbency document) untuk membuktikan Aabar Investments PJS Limited adalah milik IPIC.
"Setakat pengetahuan saya, incumbency dokumen diberikan Geh kepada Jabatan Audit Negara.
"Maka, saya tidak lihat ada masalah sehingga saya dipanggil untuk beri keterangan kepada pihak berkuasa bermula 2015," katanya.
Pada 2 September 2020, bekas CEO 1MDB dan saksi pendakwaan kesembilan, Shahrol Azral Ibrahim Halim berkata lembaga 1DMB tidak pernah meluluskan pemindahan AS$699.3 juta daripada subsidiari tenaganya kepada Aabar "palsu".
Pasti dengan penglibatan Jho Low
Keterangan Shahrol berkaitan pemindahan pada 2014 yang dibuat menerusi dua peringkat, di mana peringkat pertama melibatkan AS$233,333,000 pada 3 September dan peringkat kedua AS$457,984,607 pada 30 September.
Dilaporkan yang subsidiari sebenar IPIC adalah Aabar Investments PJS yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI).
Wang AS699.3 juta didakwa sebahagian daripada pinjaman AS$1.225 bilion dari Deutsche Bank Singapura kepada 1MDB Energy Holdings antara Mei hingga Ogos 2014.
Ketika perbicaraan pada 11 November, Azmi berkata Jho Low mewujudkan budaya bekerja secara berasingan dan tertutup di 1MDB dan dia tidak sedar tentang dakwaan pemindahan berbilion dolar AS yang merugikan daripada syarikat itu.
Ketika itu, dia juga berkata yang dia mengikut arahan Jho Low kerana menganggapnya sebagai mandat Najib.
Hari ini, Azmi berkata semua perkara melibatkan Aabar dikendalikan oleh peguam 1MDB ketika itu, Jasmine Loo.
Azmi mendakwa dia pasti berkenaan penglibatan Jho Low mendangkan ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias memberitahunya yang Jho Low adalah individu yang dipercayai Najib.
Pihak berkuasa masih berusaha menjejak Jho LOw dan beberapa lagi yang didakwa sebagai sekutunya, antaranya Geh dan Loo.
Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok, dengan bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail akan dipanggil.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai