Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan lelaki sedang cabut bendera parti politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Polis menahan seorang lelaki ketika sedang mencabut bendera dan gegantung milik parti politik bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam kejadian di persimpangan jalan Taman Melaka Perdana, Alor Gajah malam tadi.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.54 malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk disoal siasat.

"Siasatan lanjut mendapati tujuan lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori melakukan perbuatan itu kerana pemasangan bendera dan gegantung tersebut didakwa menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang keluar masuk ke simpang jalan.

"Pemeriksaan polis turut menemukan lapan bendera berlogo Pakatan Harapan (PH), empat bendera Perikatan Nasional dan 14 bendera BN," katanya menerusi kenyataan di Melaka hari ini.

Abdul Majid berkata suspek turut mengakui tujuannya berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan suspek telah diberi jaminan polis.

Kata Abdul Majid setakat ini lima laporan polis berkaitan perbuatan sabotaj bendera dan gegantung parti politik diterima iaitu masing-masing dua di Alor Gajah dan Melaka Tengah, serta satu di Jasin.

"Polis juga menasihatkan semua parti yang bertanding supaya memasang atau memacak bendera di tempat yang tidak menghalang pemandangan pengguna jalan raya untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan," katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal berlangsung hari ini.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat ahli dewan undangan negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

- Bernama