Skip to main
Logo Malaysiakini

DNB diarah bincang dengan semua MP demi ketelusan pelancaran 5G

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata dia telah mengarahkan Digital Nasional Berhad (DNB), yang bertanggungjawab terhadap pelancaran 5G di Malaysia, untuk mengadakan sesi perbincangan dengan semua Ahli Parlimen demi ketelusan.

Ini berlaku selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mencadangkan DNB mengadakan taklimat khas untuk ahli parlimen untuk menerangkan secara teliti mengenai pelancaran 5G.

“Mengenai apa yang dibangkitkan oleh Muar, saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini bahawa dalam pertemuan saya dengan mereka (DNB) baru-baru ini, dalam tempoh seminggu yang lalu, saya secara khusus mengarahkan DNB untuk mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen.

“Saya akan membuat susulan berhubung perkara ini kerana mereka telah diminta memberikan penjelasan terperinci kepada ahli parlimen pembangkang dan backbencher.

“Saya rasa isu ini mesti dilaksanakan dan dikendalikan secara telus dan DNB bertanggungjawab menjelaskan semua langkah yang mereka ambil (dalam melaksanakan pelancaran 5G),” kata Annuar semasa ucapan penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata butiran lanjut mengenai model DNB akan dijelaskan oleh menteri kewangan dalam ucapan penggulungannya esok.

Ini kerana DNB adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

DNB telah ditubuhkan oleh Putrajaya untuk membina dan memiliki infrastruktur rangkaian 5G Malaysia.

Pengkritik sebelum ini mempersoalkan keperluan kerajaan melibatkan diri dalam sektor telekomunikasi dan melahirkan kebimbangan mengenai kos usaha sedemikian.