Skip to main
Logo Malaysiakini

Melaka terlepas peluang cipta puncak keharmonian politik, kata Idris

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Idris Haron menggambarkan tindakan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) secara tergesa-gesa pada bulan lalu menyebabkan negeri itu terlepas peluang untuk mempunyai kerajaan yang dipimpin Adun Umno dan pada masa sama disokong pembangkang.

Menurut bekas ketua menteri ke-10 Melaka itu, tindakan dia bersama tiga lagi Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali awal pada bulan lalu tidak sepatutnya berakhir dengan PRN.

Katanya kerajaan baru dapat dibentuk dengan hanya melibatkan 28 orang Adun dan ia sepatutnya boleh berjalan dengan lancar.

“Sepatutnya saya - yang mendapat sokongan daripada DAP, PKR dan Amanah - boleh menjadi kebanggaan kepada Umno apabila seorang pemimpin parti itu disokong oleh wakil parti-parti yang berbeza ideologi politik dan boleh menjadi pemimpin mereka.

“Tapi tiba-tiba Umno tergesa-gesa memecat saya, sama dengan kadar kesegeraannya untuk membubarkan DUN.

"Kemudian sesudah bubar DUN, buat-buat tak tahu pula... (padahal) mestilah ada pilihan raya,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di bilik gerakan utama PH DUN Asahan, Melaka baru-baru ini.

Idris merupakan Adun Sungai Udang apabila dia bersama Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan mereka tidak lagi menyokong Sulaiman sebagai ketua menteri.

'Pelik' Umno tak setuju

Ia kemudian mendorong Speaker merangkap pengerusi Umno negeri itu, Ab Rauf Yusoh, mengumumkan - pada 4 Okt - DUN Melaka terbubar selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam. Ia kemudian membawa kepada PRN.

Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang sebelum itu memohon untuk membentuk kerajaan selepas mendapat kerusi majoriti di DUN. Ia merupakan proses yang sama dibuat BN dan Perikatan Nasional (PN) semasa mereka mahu membentuk kerajaan selepas PH dijatuhkan pada tahun lalu.

Idris dan Nor Azman kemudian dipecat oleh Umno. Mereka bagaimanapun dicalonkan semula untuk bertanding menggunakan tiket PH. Idris bertanding di Asahan manakala Nor Azman di Pantai Kundor.

Baru-baru ini tular sepucuk surat bertarikh 30 Sept itu - sebelum pembubaran DUN Melaka - ditujukan kepada Mohd Ali mengenai syor PH untuk melantik Idris sebagai ketua menteri yang baru. 

Bagaimanapun pejabat Pengerusi PH Melaka Adly Zahari ketika dihubungi menyifatkan ia sebagai "isu lama" dan mereka enggan mengulas lanjut.

Idris berkata adalah luar biasa untuk sesebuah blok pembangkang bersetuju menerima pemimpin Umno sebagai ketua menteri bagi memimpin negeri sejarah itu.

“Itulah kemuncak kepada keharmonian politik di negara ini - apabila pembangkang bersetuju orang Umno jadi ketua.

“Tapi yang peliknya Umno pusat, Umno negeri tak setuju pembangkang menyokong orang Umno menjadi ketua. Cepat-cepat dia (Umno) pecat saya kerana tak nak saya pakai label Umno apabila disokong oleh DAP, PKR dan Amanah,” katanya.

Sama macam Najib, Zahid

Disebabkan tindakannya itu, Idris kemudian digelar sebagai pengkhianat oleh sesetengah pihak namun dia menganggapnya hanyalah mainan persepsi.

Hal itu kerana, menurut Idris, tindakannya membatalkan sokongan kepada Sulaiman itu bertujuan untuk “memperbetulkan kemungkaran” yang berlaku di Melaka.

Katanya, apabila melihat sesuatu kejahatan, selemah-lemah iman seseorang Muslim ialah membantah dengan hati, namun yang lebih baik ialah mencegahnya dengan 'tangan' atau kuasa.

Justeru kata Idris dia melakukan apa yang termampu dengan menarik sokongan kepada Sulaiman sekali gus menyebabkan kerajaan BN-PN tumbang.

“Saya dilihat (BN dan PN) sebagai orang jahat, tapi saya cuma ingin membetulkan kemungkaran yang berlaku,” katanya menyorot semula kisah penarikan sokongan terhadap Sulaiman.

Idris juga menyifatkan tindakannya membatalkan sokongan itu sama dengan pemimpin kanan Umno - seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi - yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Saya ingat itulah punca sebenar kerosakan sistem politik di Melaka ini, sama seperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur.

“Zahid dan Najib tarik sokongan kepada Muhyiddin; saya tarik sokongan kepada Sulaiman kerana dia adalah boneka kepada Ab Rauf," katanya.

Untuk rekod dakwaan tersebut pernah dibuat Idris beberapa kali sebelum ini namun dinafikan Ab Rauf.