Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan sedia 21 PPS mangsa banjir bergejala Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berdepan musim tengkujuh dan penularan wabak Covid-19 masih berleluasa, Kelantan bersiap-sedia dengan 21 buah pusat pemindahan sementara (PPS) khas bagi menempatkan mangsa banjir yang mempunyai gejala Covid-19.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata PPS khas itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, penempatan PPS khas itu disediakan di setiap daerah seluruh negeri namun bilangannya lebih banyak di jajahan Pasir Mas dan Tumpat iaitu lokasi yang mudah terkena banjir.

"Semua PPS tersebut juga dibuka berdekatan hospital di setiap kawasan bagi memudahkan pengurusan selain sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sesuatu di luar kawalan.

"Setiap keluarga yang terpaksa berpindah ke PPS dinasihatkan menjalani ujian calitan kendiri terutama yang bergejala supaya pihak pengurusan di PPS dapat mengambil tindakan awal dalam menangani penularan wabak.

"Selain PPS khas, sebanyak 539 PPS lain disediakan yang mana boleh memuatkan kapasiti mangsa banjir seramai 220,000 orang di seluruh Kelantan," katanya ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, pihak pengurusan setiap PPS akan memastikan mangsa ditempatkan dengan keadaan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Selain itu, penduduk yang terdedah banjir juga dinasihatkan agar mengakses portal e-banjir dan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetahui sebarang informasi semasa.

"Mereka juga disarankan untuk bertindak sendiri jika berlaku banjir seperti berpindah awal ke tempat selamat memandangkan pihak berkuasa berhadapan dengan kekangan SOP untuk membantu mangsa dengan jumlah yang ramai.

"Saya berharap Kelantan dapat dijadikan contoh dalam pengurusan bencana banjir kepada negeri lain memandangkan kita yang hampir setiap tahun berhadapan dengan fenomena berkenaan," jelas Mumtaz yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Demit.