Skip to main
Logo Malaysiakini

Adly: BN dah guna wang pampasan untuk nelayan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA l Pakatan Harapan (PH) mendakwa nelayan di Melaka belum menerima pampasan daripada kerja penambakan laut yang menjejaskan kehidupan mereka, adalah kerana kerajaan negeri BN telah menggunakan wang itu sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, selepas mengambil alih kuasa susulan kemenangan semasa PRU14 dengan dirinya dilantik ketua menteri, mereka mendapati sejumlah RM33 juta pampasan yang sepatutnya diberikan kepada nelayan tidak pernah pun dibayar.

Ini berkaitan kerja penambakan laut untuk penyambungan jeti pelabuhan Tanjung Bruas.

“Sepatutnya, wang itu telah diasingkan sebagai dana khas buat nelayan, dan kerajaan negeri sepatutnya telah pun membayar jumlah pampasan itu kepada mereka.

“Bila kita ambil alih kerajaan kita tahu angka itu adalah RM33 juta.

“Tetapi itu hanya angka yang ada di atas kertas, tetapi telah digunakan,” katanya dalam sidang media di Kelebang, Melaka hari ini selepas melawat nelayan tempatan.

Menurut bekas ketua menteri itu, kerajaan BN telah menggunakan wang buat nelayan itu untuk membayar gaji penjawat awam dan menganjurkan majlis-majlis kerajaan, kerana kekurangan peruntukan.

Kata Adly, di bawah kepemimpinannya, kerajaan PH cuba mendapatkan wang bagi menampung jumlah yang telah digunakan itu dan mengagihkan sejumlah RM8 juta kepada nelayan sebelum kerajaan negeri tumbang pada Mac 2020 kerana peralihan sokongan.

Calon Bukit Katil itu menambah bahawa PH komited untuk membayar baki wang berkenaan menerusi dua bentuk: pemberian tunai, dan infrastruktur seperti jaring, kemudahan bot dan enjin kepada mereka.

Gabungan Umno-Bersatu mengambil alih kerajaan negeri daripada PH, di bawah teraju Sulaiman Md Ali. Sulaiman kemudian telah mengarahkan pelabuhan Tanjung Bruas untuk memberikan pampasan kepada nelayan.

Bagaimanapun, nelayan mendakwa yang mereka belum menerima wang pampasan berkenaan.

Kerja penambakan laut, kata mereka, telah memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.

Semakan semula kerja tambak laut mega era BN 

Adly berkata PH turut berikrar untuk menyemak semula projek penambakan laut mega era BN - Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) - jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baru.

“M-WEZ akan dikaji semula, hanya kawasan-kawasan tertentu sahaja yang kita benarkan untuk diteruskan tambakan.

“Yang mana boleh nilai semula, kita akan nilai semula,” kata Adly. PN turut membuat janji serupa.

Adly berkata, dia lebih cenderung untuk membangunkan kawasan tambakan sedia ada yang belum lagi dibangunkan.

Sebagai ketua menteri, Sulaiman mempromosikan M-WEZ yang disifatkannya sebagia game-changer (pengubah keadaan) untuk ekonomi Melaka.

M-WEZ terkandung dalam manifesto BN, dengan gabungan itu mendakwa ia mampu menjana sejumlah 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Projek mega itu melibatkan 10,000 hektar, dan akan meliputi kira-kira separuh daripada keseluruhan garisan pantai Melaka.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-WEZ akan menjangkau sepanjang Pantai Kundor hingga Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam, meliputi jarak 33km.

Ia akan melibatkan peluasan kawasan pantai Melaka lebih jauh ke laut, mewujudkan kawasan tanah baru yang luas untuk dibangunkan, antara lain, menjadi harbour front, taman perniagaan, kawasan perbandaran, pusat logistik - menjadikan perkampungan nelayan yang wujud sekian lama semakin terperosok ke dalam dan semakin jauh dari laut.

Bagaimanapun, BN mempertahankan projek penambakan laut itu dengan menyifatkannya sebagai sumber pendapatan yang penting buat kerajaan negeri.

Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh mendakwa nelayan masih boleh meneruskan kehidupan mereka kerana “laut itu luas”.

Tanpa pampasan, nelayan berkata mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan bagi menaik taraf peralatan untuk menjalankan kerja perikanan laut dalam, dan terpaksa terus memancing nasib di pinggir pantai, meskipun dengan tangkapan yang kian menyusut gara-gara kerja penambakan laut.

Oleh sebab itu, kata Adly, tahap penambakan laut mesti dikawal.

“Kita tahu nelayan kecil tidak mungkin boleh pergi jauh (ke laut) demi keselamatan.

“Dan kita pasti kita mahu laut kita mempunyai sumber ikan yang cukup. (Maka) Tambakan itu perlu dihadkan dan dikawal,” katanya.

Kempen 12 hari untuk PRN Melaka akan tiba ke penghujung pada Jumaat ini. Penduduk Melaka akan turun mengundi pada Sabtu (20 Nov).