Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dasar tiada bin' merugikan Melaka, kata Adly

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dasar 'tiada bin’, yang didakwa dimulakan di Melaka ketika pentadbiran Umno-Bersatu merupakan satu kerugian buat negeri itu, kata bekas ketua menteri Adly Zahari.

Dasar itu didakwa menyebabkan permohonan daripada individu yang tidak mengandungi “bin” dalam nama mereka, tidak akan diterima.

Dakwaan polisi “tiada bin” itu mula timbul dalam satu rakaman perbualan, dikatakan antara penyandang kerusi Sungai Udang Idris Haron dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menyaksikan individu didakwa sebagai Idris menjelaskan keputusannya menentang kerajaan Umno-Bersatu.

You tahu polisi paling tak disukai dekat Melaka? Engkau dengar sebagai perdana menteri, kau akan rasa sangat kesal. No bin policy (dasar tiada bin). Maknanya apa saja permohonan dari orang Cina, orang India, ditolak mentah-mentah,” kata individu dalam rakaman itu.

Idris telah menafikan dirinya adalah individu dalam rakaman tersebut, menyifatkan nada percakapan individu berkenaan sebagai “kurang ajar” dengan perdana menteri.

Idris Haron

Idris yang menjadi ketua menteri dari 2013 hingga 2018, merupakan exco dalam kerajaan Umno-Bersatu yang ditubuhkan pada Mac 2020 susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) gara-gara peralihan sokongan.

Adly, yang mengetuai kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020 merupakan calon ketua menteri dalam PRN Melaka kali ini, berpandangan bahawa dasar yang merugikan mana-mana kaum akan akhirnya turut merugikan negeri.

Dia memberi contoh pajakan tanah. “Kita mesti berikan satu jangka masa baik (pajakan tanah) supaya rakyat ada tempoh tanah tertentu, supaya mereka boleh apa? Mereka boleh buat pinjaman bank, dalam masa sama mereka boleh bangunkannya.

“Jadi sebenarnya dasar tiada bin ini bukan saja kononnya merugikan bangsa tertentu, tidak, ia merugikan negeri kita kerana pembangunan tidak boleh dibuat, dan perancangan masyarakat sendiri tergendala,” katanya.

Katanya lagi, begitu juga ketika pentadbiran PH di mana Umno menjadikan keputusannya agar kerajaan hanya akan mengenakan premium tanah yang nominal terhadap sekolah, tidak kira untuk sekolah agama ataupun sekolah vernakular, sebagai satu isu.

“Bagi saya, apabila saya berikan sesuatu yang baik kepada institusi pendidikan sama ada pendidikan masyarakat Cina, India, ataupun pendidikan Islam, bagi saya bila kita modalkan kepada institusi pendidikan, kita tak rugi apa-apa.

“Sebab itu saya lihat, bila timbul soal dasar no bin, mereka meletakkan bahawa nak kelulusan mesti kaum-kaum tertentu saja, ini akan merosakkan masa depan kita,” katanya dalam satu dialog dalam talian.

Adly yang diwawancara bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, turut ditanyakan mengenai penambakan laut di Melaka.

Adly mengakui projek sedemikian membawa pulangan kepada negeri, tetapi membangkitkan kebimbangan dalam soal ketirisan.

“Kalau kita tengok yang baru ini bila erajaan negeri (Umno-Bersatu) tawarkan kepada satu syarikat 1,990 ekar (untuk ditambak), premium hanya sekitar RM80 juta saja. Sepatutnya premium yang dikutip oleh kerajaan negeri dengan keluasan itu adalah sebanyak RM160 juta.

“Sepatutnya tambakan laut kita ini, kalau dibuat dengan susunan betul, boleh sediakan peluang pekerjaan […] Tetapi kalau kita lihat tambakan laut itu tak dibuat dengan cara yang betul, ketirisan berlaku.

“Dan banyak kawasan tambakan itu tidak dibangunkan mengikut tempohnya (jadual),” katanya lagi.

Berjimat dalam musim Covid-19

Kata Adly, sebagai ketua menteri, dia telah memperkenalkan pelbagai langkah penjimatan dan berkata langkah itu diperlukan lebih-lebih lagi ketika rakyat bergelut menghadapi pandemik Covid-19.

“Antara penjimatan saya, banyak program rasmi kerajaan yang saya nilai semula. Saya ambil satu contoh, masa saya jadi ketua menteri, penjimatan makan dalam majlis rasmi ini saja boleh jimat RM8 juta sebenarnya.

“Saya fikir banyak lagi penjimatan yang boleh kita lakukan dalam musim Covid-19.

“Kalau dulu saya jimatkan bil elektrik di kediaman (rasmi) saya. daripada RM30,000 kpd RM2,000 sebulan. Itu sudah boleh jimatkan sedikit wang negeri,” katanya.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, kemudian berseloroh jika Adly menggunakan lilin di kediaman rasminya.

“RM2,000 sebenarnya agak tinggi juga berbanding rumah biasa kita, kita gunakan sekitar RM300-RM400 sebulan.

“Jadi saya fikir, bagi seorang ketua menteri dengan rumah tamu saya duduk itu, RM2,000 itu sesuailah berbanding dengan RM30,000 sebelumnya,” katanya.

Adly akan mempertahankan kerusi Bukit Katil yang dimenanginya pada PRU 2018 dengan majoriti 3,159 undi.

Dalam PRN kali ini, dia akan berdepan Hasnoor Sdg Husin dari BN, Muhammad Al Afiz Yahya dari PN dan calon bebas Abdul Hamid.

Bukit Katil mempunyai 64 peratus penduduk Melayu, 31 peratus Cina dan empat peratus India.

Rakyat Melaka akan turun mengundi Sabtu ini (20 Nov).

Sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi harus dimenangi untuk membentuk majoriti membentuk kerajaan negeri yang baru.