Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas gabenor Melaka turun padang di Gadek

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob terus menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) buat hari ketiga berturut-turut hari ini.

Kali ini dia menyertai sesi bertemu dengan orang ramai di Kampung Tanjung Rimau Dalam, di kawasan DUN Gadek.

Pun begitu bekas setiausaha agung Umno itu berkata dia sudah lama bersara daripada politik dan tidak dapat menjawab soalan mengenai politik.

"Dah lama bersara, jadi soalan politik mana saya boleh nak jawab, tapi calon ini memang disukai ramai, bekerja kuat dan bertenaga," katanya mengenai calon PH bagi DUN berkenaan.

Dalam PRN ini PH mencalonkan G Saminathan untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018 itu. Dia berdepan dengan lima pencabar lain iaitu P Shanmugam (MIC-BN), Laila Norinda Maon (Putra), Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu-PN) selain dua calon bebas iaitu Mohan Singh dan Azafen Amin.

Untuk rekod dunia politik bukanlah asing kepada Mohd Khalil. Sebelum dilantik menjadi gabenor Melaka dia merupakan menteri besar Pahang selama 13 tahun sebelum menjadi anggota kabinet selaku menteri penerangan.

Dia juga pernah menjadi setiausaha agung Umno antara Mei 1999 sehingga Mei 2004. Veteran berusia 83 tahun itu kemudian dilantik sebagai gabenor Melaka sejak Jun 2004 sehingga Jun 2020.

Tempat Mohd Khalil kemudian diisi bekas ketua menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, yang tewas dalam PRU lalu.

Sejak semalam, PH juga banyak berkongsi mengenai sedutan temu bual Mohd Khalil yang memberikan pandangan positif kepada calon ketua menteri gabungan itu, Adly Zahari.

Antara lain Mohd Khalil menilai Adly sebagai tokoh intelektual, banyak membaca serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa, termasuk yang bukan berkaitan politik.

Ditanya mengenai apakah mesej yang disampaikan kepada orang ramai di kawasan Gadek, Mohd Khalil berkata, dia meminta mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Semasa saya menjadi gabenor, ada empat ketua menteri (pernah berkhidmat di bawahnya), jadi dah lama, saya dah biasa.

"Sekarang saya ambil kesempatan semasa pilihan raya ini... saya dah melakukan (kegiatan) begini sejak lama dulu (sebelum menjadi gabenor)," katanya.

Mohd Khalil juga memberitahu dia berada di tempat yang dilawati calon PH kerana di situ ada ramai orang.

"Kalau saya nak ziarah dari rumah ke rumah, tak boleh juga," katanya.

Sementara itu tinjauan Malaysiakini mendapati Mohd Khalil meluangkan masa minum kopi bersama Saminathan. Turut hadir Pengarah Pilihan Raya DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Difahamkan Mohd Khalil juga berkunjung ke Asahan, Pengkalan Batu, Duyong, dan Telok Mas untuk bertemu dengan calon-calon PH.

Kelmarin Mohd Khalil bertemu dengan orang ramai di kawasan DUN Kuala Linggi, manakala semalam di Ayer Molek.