PN tidak goyang walau hampir 600 ahli keluar Bersatu
PRN MELAKA | Perikatan Nasional (PN) tidak sama sekali tidak 'goyang' selepas kehilangan hampir 600 ahli Bersatu di Melaka, kata salah seorang pemimpin kanan gabungan itu.
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang berlaku di Pengkalan Batu itu hanyalah perang psikologi musuh ketika PRN Melaka semakin sampai ke penghujungnya dan mereka masih "ada masa" untuk memenangi saingan pada 20 Nov ini.
Kata Ahmad Samsuri taktik mengisytiharkan sekumpulan orang meninggalkan sesebuah parti sebegitu adalah sinonim dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, sama ada pilihan raya kecil (PRK) mahu pun pilihan raya umum (PRU).
Malah kata menteri besar Terengganu itu lagi, dia juga mendapat tahu ada ahli parti lain bertindak sebegitu.
"Keluar masuk parti adalah perang psikologi yang biasa kita terima dan saya dapat laporan ada daripada Umno atau Amanah masuk parti lain.
"Ini adalah perang psikologi yang biasa kita dengar sejak puluhan tahun terlibat dalam pilihan raya, jadi kita tidak terganggu fikiran sedikit pun dengan perkara sebegitu.
"Kita masuk (PRN) untuk menang, dan semua orang yang bertanding mahu menang, jadi kita cubalah... masih ada masa lagi," katanya kepada media selepas menghadiri sidangan DUN Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Ahmad Samsuri sebelum itu diminta mengulas mengenai keyakinan PN selepas lebih hampir 600 orang ahli Bersatu dilaporkan meninggalkan parti itu di Melaka, semalam.
Sementara itu Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan penghijrahan 595 individu terbabit disifatkan sebagai usaha terdesak Umno untuk mengalih perhatian pengundi Melaka.
Katanya, ia dibuat susulan dakwaan Ahmad Samsuri semalam bahawa ada parti yang bertindak sebagai 'Abang Long’ sehingga menggagalkan usaha mendamaikan Umno dan Bersatu.
"Perkara itu sebagai usaha terdesak Umno mengalih perhatian pengundi daripada isu lebih besar yang didedahkan kelmarin.
"Umno perlu menjawab kepada pengundi Melaka dan rakyat Malaysia kenapa mereka bersikap 'Abang Long' (yang) samseng tamak haloba," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu turut beranggapan tindakan ahli-ahli Bersatu Melaka berkenaan hanyalah isu terpencil.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai