Skip to main
Logo Malaysiakini

PN pilih Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Seperti dijangka Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, menjadi pertaruhan terbaik Perikatan Nasional untuk ditawarkan sebagai ketua menteri kepada pengundi Melaka pada 20 Nov ini.

Pengumuman calon ketua menteri itu diumumkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, di ibu pejabat gabungan tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam PRN ini PN meletakkan Mas Ermieyati bertanding di kerusi Tanjung Bidara yang terletak di bawah kerusi parlimen Masjid Tanah.

Menurut Muhyiddin nama timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dipersetujui oleh pemimpin yang ada dalam gabungan PN.

“Keputusan pimpinan PN bersetuju menamakan Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri Melaka," katanya.

Tambah Muhyiddin, untuk kali pertama dalam sejarah seorang calon wanita yang berkelayakan, profesional, muda dan berpengalaman dicalonkan untuk menjadi ketua menteri Melaka.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai.

Jika PN berjaya menguasai majoriti kerusi dalam DUN Melaka dan Mas Ermieyati memenangi kerusi yang ditandinginya, dia akan menjadi wanita pertama dilantik sebagai ketua menteri.

Sebelum ini Umno-BN terlebih dahulu mengumumkan calon ketua menteri mereka iaitu Sulaiman Md Ali pada 8 Nov, diikuti Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Adly Zahari dua hari kemudian.

Kedua-dua mereka pernah berkhidmat sebagai ketua menteri sebelum ini

Secara keseluruhan ada lima DUN di bawah kawasan parlimen Masjid Tanah, iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning

Dalam PRU lalu Umno-BN memenangi semua kerusi tersebut, termasuk parlimen Masjid Tanah. Bagaimanapun Mas Ermieyati meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai Bersatu.

Dia kini dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan pencalonan rasmi Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri, persaingan di kerusi Tanjung Bidara menjadi lebih menarik perhatian kerana di situlah juga tempat Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, bertanding.

Seorang lagi calon yang bertanding di situ ialah wakil PH, Zainal Hassan.