Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Semua orang mati, tapi kesetiaannya terpahat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua hari lepas, saya melawat Tokong Sam Tiong Keng di Semabok, Melaka, yang berada dalam kerusi DUN Bandar Hilir, di mana DAP mencalonkan Timbalan Ketua DAPSY Leong Chau Yan.

Saya terkejut apabila mendapati tokong ini didedikasi kepada tokoh bersejarah Weng Tianxiang, penyair dan ahli politik daripada Dinasti Song Selatan, yang memilih mati daripada mengkhianati kesetiaan beliau kepada Kublai Khan dan Dinasti Yuan.

Sepanjang hidup saya dipandu oleh kata-kata Wen Tianxiang, “Semua orang akan mati, tetapi kesetiaan saya akan menerangi catatan sejarah buat selama-lamanya”.

Dan saya tidak pernah berkompromi dengan kesetiaan saya terhadap Malaysia untuk menjadikannya negara hebat berkelas dunia.

Wen Tianxiang setia kepada Dinasti Song di China, dan saya pula kekal setia kepada Malaysia, tanah tempat lahir, dididik, dan akhirnya akan mati di sini.

Kerana inilah saya kembali ke Malaysia seminggu selepas saya diundi sebagai ahli parlimen Bandar Melaka, walaupun saya dinasihati kekal di luar negara sehingga kekecohan akibat rusuhan 13 Mei 1969 reda.

Saya berada dalam senarai hitam yang terdiri daripada mereka yang akan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tetapi, tempat saya adalah di Malaysia, bukan mana-mana tempat lain.

Kerana ini jugalah saya telah tiga kali sepanjang kerjaya politik, saya mencadangkan moratorium politik, memandangkan semua rakyat Malaysia perlulah melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu, sebelum identiti lain, baik Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban.

Kali pertama adalah semasa saya ditahan bawah ISA pada 5 Ogos 1969. Saya tulis sepucuk surat daripada Pusat Tahanan Muar kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, “bukan sebagai seorang ahli politik mana-mana parti, tetapi sebagai seorang nasionalis Malaysia”.

Dan saya sampaikan kepada beliau kebimbangan saya terhadap masa hadapan Malaysia.

Saya katakan, keputusan pilihan raya umum 10 Mei 1969 ini menunjukkan pilihan rakyat untuk demokrasi, melawan kempen Parti Kounis Malaya (PKM) untuk memboikot pilihan raya. Terdapat kegembiraan dan jangkaan selepas keputusan itu, bukan untuk menafikan sesiapa pun kepada hak-hak mereka, tetapi sebaliknya harapan baharu untuk sebuah masyarakat yang lebih adil, saksama, dan bermakna.

Rayuan saya kepada Tunku

Saya merayu kepada Tunku pada saat cabaran getir negara untuk “bangkit atas garis politik kepartian dan fikirkan kepentingan jangka panjang negara” dan mencadangkan supaya diadakan moratorium politik antara semua parti politik.

Untuk memastikan terdapatnya keharmonian dan perasan muhibah antara komuniti dan pembangunan kesedaran dan identiti Malaysia yang menjangkaui garisan perkauman dan pertalian, saya mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat “keseluruhan masalah perkauman di Malaysia untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang”.

Kali kedua pula adalah sehari sebelum tahanan ISA kedua saya dan saya buat cadangan ini di parlimen semasa perbahasan Belanjawan 1988 pada 26 Oktober 1987. Esoknya penangkapan beramai-ramai Operasi Lalang dilancarkan.

Saya cadangkan moratorium politik selama setahun untuk semua parti politik - tidak ada sebarang isu mengenai perkauman, bahasa, budaya, atau agama dibangkitkan untuk membolehkan semua orang menumpukan usaha kepada keutamaan negara untuk mencapai pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

Kali ketiga adalah semasa pandemik Covid-19 pada 17 Jun 2021, saya menyeru supaya moratorium politik dicapai - hanya akan ada satu keutamaan untuk negara iaitu memastikan kita menang perang melawan Covid-19 dan memastikan kematian akibat wabak ini tidak melepasi paras 5,000.

Daripada sebuah negara yang menunjukkan prestasi yang agak baik dalam perang melawan wabak ini, Malaysia secara tiba-tiba menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk.

Semasa kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020, lapan bulan selepas bermulanya penularan wabak ini, kita mencatatkan sejumlah 9,340 kes dengan 127 kematian akibat Covid-19.

Kini, 14 bulan kemudian, kita mencatatkan sejumlah 2.6 juta kes dan hampir 30,000 kematian akibat Covid-19.

Kerana inilah kita perlu menghentikan peningkatan kes dan kematian Covid-19 ini, yang kita berjaya turunkan selepas memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi dimeterai antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan.

Namun penurunan kes ini masih berada pada tahap yang terlalu perlahan, walaupun jika dibandingkan dengan negara-negara yang lebih besar seperti Indonesia, Filipina, India, dan China.

Tokong Sam Tiong Keng

Sebelum saya melawat Tokong Sam Tiong Keng, saya berada di Telaga Hang Tuah bersama calon DAP untuk kawasan Duyong, Damien Yeo.

Tauladan dari Wen Tianxiang dan Hang Tuah

Rakyat Malaysia perlu mengambil inspirasi daripada tauladan Wen Tianxiang dan Hang Tuah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Saya sentiasa percaya yang Malaysia merupakan titik pertemuan empat tamadun hebat dunia -- Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat -- dan kita perlu manfaatkan nilai-nilai murni empat tamadun hebat ini.

Malah negara kita ini boleh dikira sebagai gambaran menyeluruh Asia, dan perkara ini tidak seharusnya hanya menjadi tarikan pelancong, sebaliknya menjadi asas kehidupan di Malaysia.

Kerana inilah kita ada lima prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Rukun Negara untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Matlamat ini diterapkan dengan lima prinsip pembinaan negara bangsa iaitu:

1. Kepercayaan kepada tuhan

2. Kesetiaan kepada raja dan negara

3. Keluhuran perlembagaan

4. Kedaulatan undang-undang

5. Kesopanan dan kesusilaan

Masalah yang dihadapi negara, kini mempunyai menteri kabinet dalam dua kerajaan “pintu belakang” yang tidak menerima prinsip Rukun Negara, yang membawa kepada tindakan seperti larangan penjualan arak dan perjudian di Malaysia.

Ini berlaku walaupun pada tahun 70-an dan 80-an kelima-lima prinsip Rukun Negara ini diajarkan kepada pelajar dan terpahat di dinding-dinding sekolah, universiti, dan tempat-tempat awam yang penting.

Kita perlu contohi tauladan Wen Tianxiang dan Hang Tuah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP bagi kawasan Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.