Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebimbangan dikompaun bayangi pergerakan pemimpin PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Seminggu selepas pihak berkuasa menyerbu majlis Pakatan Harapan (PH) di Melaka dan meneliti pematuhan SOP Covid-19 mereka, pemimpin-pemimpin dari gabungan itu nampaknya masih dibayangi kebimbangan dikenakan denda.

Susulan insiden pada 10 Nov itu, pimpinan tertinggi PH menggunakan alasan tersebut untuk menolak daripada memberikan sebarang komen kepada wartawan apabila didekati ketika lawatan mereka ke kawasan pilihan raya.

Wartawan yang membuat liputan sepanjang tempoh kempen pilihan raya juga mendapati sukar untuk mendapatkan jadual program kempen daripada pihak PH.

Tindakan mengelakkan diri daripada wartawan itu lebih jelas apabila pimpinan kanan PH - Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) - mengunjungi Bemban yang turut ditemani oleh calon DAP Tey Kok Kiew untuk minum petang serta melawat kawasan berkenaan.

“Janganlah (tanya) nanti kena bayar (kompaun) RM4,000.

"Kalau you mau bayar okey. Kalau nak, you bayar,” kata Anwar kepada pemberita sambil bergegas meninggalkan kedai makan tersebut.

Sebelum itu Anwar diminta mengulas peluang PH dalam mempertahankan kerusi Bemban daripada cabaran BN dan Perikatan Nasional (PN).

Mengikut SOP untuk PRN Melaka ini pihak berkuasa tidak membenarkan temu bual secara spontan sepanjang tempoh berkempen. Namun di sebalik peraturan tersebut ramai pemimpin politik dan calon pelbagai parti terlibat dalam temu bual spontan sejak hari penamaan calon pada 8 Nov.

Mahu cari tandas saja

Anwar memberi alasan yang sama ketika ditemui pemberita pada 13 Nov selepas mengiringi calon PH bagi DUN Rim berkempen di sebuah warung.

“...Tiada PC (sidang media) di luar (lokasi yang sepatutnya),” katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP pula memberikan alasan berbeza ketika dihampiri di majlis sama hari ini.

Terperangkap di satu sudut oleh pemberita yang ingin menemubualnya, Lim berpura-pura bahawa dia berada di warung itu hanya untuk menggunakan tandas.

“Saya datang sini cari tandas sahaja,” katanya.

Mohamad turut enggan bercakap kepada pemberita yang bertanya soalan kepadanya.

Malaysiakini dimaklumkan daripada sumber PH, serbuan Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis di mesyuarat majlis presiden gabungan itu di sebuah hotel pada 10 Nov lalu menyebabkan pimpinan tertinggi parti memberi arahan agar program mereka tidak dimaklumkan kepada media.

PH juga mendakwa serbuan tersebut dibuat secara salah.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pasukan tersebut tiba di Hotel La Crista, Melaka, yang menjadi lokasi mesyuarat Majlis Presiden PH selain mengambil gambar para peserta.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir pula mendakwa PH mungkin menjadi mangsa sabotaj pihak tertentu selepas gabungan itu berulang kali dikenakan kompaun atas dakwaan pelanggaran SOP.