Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafiq kekal fokus walau tak dinamakan jadi calon ketua menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen berkata gerak kerjanya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) tidak terjejas walaupun bukan namanya disebut menjadi pilihan calon ketua menteri.

Ditemui media selepas menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid al-Khairiah di Telok Mas, Mohd Rafiq bahkan berkata dia sebagai pengerusi PN Melaka juga memberikan sokongan penuh kepada keputusan tersebut.

"Fokus saya sebagai calon PM tak hilang, bahkan jadual saya terus padat.

"Hari ini adalah hari terakhir (untuk berkempen), sehingga malam jadual saya cukup padat untuk mengadakan kempen di fasa akhir," katanya.

Turut bersembahyang di situ ialah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Semalam bekas perdan menteri itu mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri bagi PN jika gabungan tersebut mampu membentuk kerajaan negeri.

Mas Ermieyati diletakkan bertanding di kawasan DUN Tanjung Bidara dan berdepan dengan pertembungan tiga penjuru. Seorang daripada pencabarnya ialah Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusuh.

Terus kempen macam biasa

Dalam PRU lalu Mas Ermieyati memenangi kerusi parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 8,159 undi. Dia melakukannya atas tiket BN. Bagaimanapun bekas ketua Puteri Umno Malaysia itu meninggalkan Umno bagi menyertai Bersatu kira-kira tujuh bulan kemudian.

Mohd Rafiq merupakan exco kanan Melaka, sama ada semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau gabungan BN-PN selepas itu.

Dia memenangi kerusi DUN Paya Rumput pada 2018 namun kali ini diletakkan bertanding di kawasan Telok Mas.

Menurut Mohd Rafiq sebagai ahli Bersatu dia menghormati keputusan pemimpin parti dan memohon agar seluruh jentera BN bekerja keras memastikan kemenangan calon mereka di setiap kerusi yang ditandingi.

Ditanya kemungkinan namanya tidak menjadi pilihan kerana ditolak Bersatu Melaka, Mohd Rafiq menjelaskan, ia sekadar spekulasi saja.

"Saya konsisten, sejak semalam pun, sejak saya dipanggil atau selepas dapat tahu keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan, saya meneruskan kempen-kempen saya di Telok Mas," katanya.

Mengenai peluang PN di Melaka, Mohd Rafiq berkata dia yakin mencapai kejayaan walaupun mereka membuat kemunculan kali pertama di negeri itu.

"Kita akan buat kejutan, insya-Allah," katanya.