Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin yakin ahli PAS tetap sokong PN di Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Mohamad Azmin Ali berkata dia yakin PAS akan terus menyokong gabungan itu di sebalik dakwaan segelintir penyokong parti berkenaan mahu memberikan undi kepada BN,

Kata Azmin dia sendiri tidak dapat mengesahkan dakwaan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong PAS di Melaka.

"Tapi yang lebih penting ialah Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) sendiri dalam mesyuarat PN dan melalui kenyataan terbuka selepas muktamar PAS baru-baru ini telah bertekad bahawa PAS bertanding atas tiket PN dan beliau menyeru semua anggota PAS Melaka untuk bersama-sama dengan PN," katanya.

Menteri kanan itu ditemui media semasa membantu kempen calon PN di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, hari ini.

Sejak semalam tular satu klip video memaparkan pemimpin akar umbi PAS di Masjid Tanah yang tidak berpuas hati dengan pendirian parti itu menguruskan PRN Melaka.

Diperkenalkan sebagai timbalan ketua cawangan PAS, lelaki terbabit mendakwa dia berdepan dengan keadaan sukar apabila menerima arahan yang berbeza, antara membantu calon PN atau mengutamakan calon PAS.

Dia bersama kumpulannya juga menyatakan ikrar untuk memberikan undi kepada calon BN di Lendu, iaitu Sulaiman Md Ali, berbanding Abdullah Mahadi dari Bersatu yang mewakili PN.

Lendu merupakan satu daripada lima DUN yang berada di bawah kawasan parlimen Masjid Tanah. Kerusi itu kini diwakili Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon PN di DUN Tanjung Bidara sekali gus menjadi calon ketua menteri untuk gabungan tersebut.

Kerusi Lendu menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu di antara Sulaiman selaku penyandang, Abdullah dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

Azmin berkata di amat yakin dengan kematangan serta istiqamah ahli PAS dalam perjuangan mereka.

"Ahli PAS sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat secara kolektif di dalam PAS dan PN," katanya.

Imran Abdul Rahman

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Yang Dipertua PAS Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman berkata semua ahli parti itu perlu tahu bahawa mereka kali ini bertanding atas tiket PN, dan bukannya "dengan lambang bulan."

Justeru Imran yang juga menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka mengingatkan, semua ahli PAS perlulah mematuhi arahan rasmi yang dibuat Abdul Hadi. 

"Semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi hanya calon PN," katanya.