Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu calon KM: Lihat pada kerja bukan gender, kata Mas Ermieyati

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Calon ketua menteri Melaka Perikatan Nasional Mas Ermieyati Samsudin menyeru supaya pengundi di Melaka menitikberatkan visi dan misinya sebagai calon ketua menteri dan bukannya soal jantina.

Mengulas mengenai terdapat kain rentang yang digantung menolak dirinya sebagai calon ketua menteri wanita, Mas Ermieyati berkata mana-mana pihak boleh menyuarakan pandangan mereka.

"Perbuatan menamakan tu pun satu tindakan yang saya kira orang lain tak buat, tapi PN berani menamakan (calon).

"Ini adalah sama yang berlaku di luar negara dan kita tak boleh berada di takuk yang sama.

"Tapi bila kita keluar daripada norma baru dan kehidupan kita hari ni pun norma baru.

"Jadi hari ni kita jangan tengok pada gender tapi pada kerja, misi dan visinya, itu lebih utama," katanya yang bertanding mewakili PN di DUN Tanjung Bidara.

Mas Ermieyati berkata demikian pada sidang media di Pengkalan Balak di Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri gabungan parti itu.

Pengumuman tersebut dibuat pada saat-saat akhir iaitu dua hari sebelum hari pengundian pada 20 Nov ini.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan tiga penjuru Mas Ermieyati (PN), Ab Rauf Yusoh (BN) dan Zainal Hassan (PH). 

Sementara itu satu pemidang yang dinaikkan di kawasan Tangga Batu menarik perhatian ramai apabila ia mendakwa PAS menolak wanita dicalonkan menjadi ketua menteri. 

Memberikan reaksi kepada pemidan itu, Mas Ermieyati berkata, semua pihak boleh memberikan pandangan.

Namun kata Mas Ermieyati, pencalonannya sebagai wakil PN adalah petunjuk bahawa gabungan tersebut menghargai sumbangan wanita.