Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Kenapa pencalonan Syahredzan sebagai senator ditangguh, terbatal?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan rasional di sebalik kelewatan yang melampau dalam pelantikan setiausaha politiknya Syahredzan Johan sebagai anggota Dewan Negara.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata DAP telah mencalonkan Syahredzan untuk mengisi kekosongan kerusi senator itu pada September 2019 semasa era kerajaan Pakatan Harapan.

"Kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan membuat beberapa kesalahan, fikir yang mereka mempunyai masa selama lima tahun untuk melunaskan semua janji pilihan raya.

"Kini, menerusi pengakuan Muhyiddin Yassin semasa pilihan raya negeri Melaka, kita tahu bahawa terdapat desakan yang kuat dari dalam kerajaan Pakatan Harapan yang cuba untuk membelakangi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan," katanya dalam tulisan blog hari ini.

"Sebagai contoh, saya tertanya-tanya mengapa ada kelewatan dalam mencalonkan Syahredzan Johan dari DAP untuk jawatan senator sedangkan keputusan itu telah diambil pada September 2019, dan ia adalah salah satu keputusan yang tidak dapat direalisasikan akibat daripada konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020," tambahnya.

Selain Syahredzan, aktivis hak asasi manusia Ivy Josiah telah dimaklumkan untuk dilantik ke Dewan Negara pada Oktober 2019.

Ketika itu, gabungan parti pemerintah PH mempunyai 26 senator manakala BN mempunyai 27 dan sekutu PAS mempunyai empat anggota Dewan Negara. 11 senator lain pula mewakili pihak berkecuali atau kumpulan berkepentingan khas.

Dewan Negara terdiri daripada 70 ahli yang dilantik dan menyemak undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

PH mahukan kuasa di Dewan Negara untuk menyelesaikan semua rang undang-undang yang dibawa ke dewan itu.

Dilaporkan senarai panjang kekosongan kerusi Dewan Negara sengaja dibuka untuk membolehkan mana-mana kerajaan baru yang berpotensi bebas memilih menteri atau timbalan menteri untuk dilantik sebagai senator.