Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian tahanan di Kelantan: Edict dakwa dipukul, polis tunggu bedah siasat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan hak asasi manusia Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict) menyorot kematian dalam tahanan di Kota Bharu, Kelantan, yang mereka dakwa akibat penderaan polis.

Tahanan yang namanya belum didedahkan itu didakwa ditahan beberapa hari lalu dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Kota Bharu.

Edict mendakwa bahawa tahanan itu dipukul oleh polis, yang menyebabkan kematiannya pada 16 Nov.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan Rodney Pasla Haris ketika dihubungi berkata kes itu disiasat sebagai kematian mengejut.

Dia berkata bedah siasat telah dijalankan dan punca kematian masih menunggu sehingga laporan patologi makmal selesai.

Minggu lalu, Edict menyorot kes Mohd Norshafriezan Zazlan, 27, yang didakwa dipukul teruk semasa berada di bawah tahanan polis di Bachok, Kelantan.

Polis menafikan memukul Norshafriezan selepas dia ditahan, tetapi mengakui bahawa pergelutan telah tercetus apabila polis bertindak untuk menangkapnya.

Ketelusan diperlukan

Kumpulan hak asasi manusia telah menyorot jumlah kematian dalam tahanan yang tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

Bulan lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendedahkan terdapat 456 kematian yang dilaporkan dalam tahanan pada 2020 sahaja.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata ini termasuk 363 kematian direkodkan oleh Jabatan Penjara, 50 oleh Jabatan Imigresen, 34 oleh polis, dan sembilan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Faktor kesihatan kekal sebagai punca utama kematian dalam tahanan, dengan Covid-19 turut menyumbang kepada angka kematian ini pada tahun lepas.

Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kematian itu.

"Rakyat tidak lagi boleh menerima alasan 'beberapa epal busuk' merosakkan sebakul - kita perlu mengkaji apa yang menyebabkan berlakunya penyelewengan keadilan yang berulang ini," kata presiden TI-M Muhammad Mohan.

“Prosedur yang tidak jelas dan tidak konsisten daripada agensi penguatkuasaan undang-undang yang diamanahkan untuk melindungi kita tidak membantu situasi.

“Oleh itu, TI-M menyeru kerajaan untuk memulakan suruhanjaya siasatan diraja terhadap kematian dalam tahanan, di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.”