Skip to main
Logo Malaysiakini

Pusat pengundian ditutup, proses kiraan bermula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Selepas 12 hari kempen, rakyat Melaka akan memilih kerajaan baru hari ini. Terdapat tiga gabungan utama pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini - BN, PN dan Pakatan Harapan (PH).

Malaysiakini membawakan anda sorotan hari mengundi sehingga pengundian ditutup pada jam 5.30 petang.

Selepas jam 5.30 petang anda boleh mengikuti perkembangan pengiraan undi dan keputusan PRN secara langsung di sini


5.30 petang: Semua pusat mengundi ditutup.

Terus ikuti laporan kami untuk perkembangan semasa dan keputusan melalui laman yang disediakan di sini.


4.30 petang, SMK Malim, Melaka Tengah: Proses pengundian yang lancar dan tenang di pusat pengundian DUN Kesidang sedikit terganggu dengan kejadian yang agak pelik.

Seorang wakil calon Pakatan Harapan (PH), mengadu kepada polis dan pegawai SPR mengenai seorang ejen pusat mengundi yang tidak dikenali tetapi mengaku bertugas untuk mereka.

Lelaki terbabit mendakwa dia hadir untuk bertugas bagi pihak calon PH, Allex Seah Shoo Chin.

Ejen itu - yang turut berada di tempat kejadian - bagaimanapun menunjukkan borang yang ditandatangani yang menyatakan dia dilantik untuk memantau proses pengiraan undi di pusat mengundi selepas jam 5.30 petang ini.

Pihak berkuasa kemudian memberitahu kedua-dua mereka untuk menyelesaikan isu itu dengan baik.

Isu itu kemudian diselesaikan selepas Seah hadir dan bertemu dengan kedua-dua mereka dan mendapat berlaku salah faham dalam komunikasi.

Mereka difahamkan ejen terbabit sebenarnya hadir bagi pihak calon Perikatan Nasional, Patrick Ng Chin Kae, bukannya Seah.

Dipercayai kekeliruan berlaku apabila ejen berkenaan datang dan memberitahu dia hadir untuk DUN Kesidang, bukannya bagi pihak Seah.

Hal itu kerana Seah merupakan penyandang kerusi DUN Kesidang dan selalu dirujuk sebagai "Kesidang" semasa sidang DUN berlangsung.


4.56 petang: Sebanyak 61 peratus pemilih berdaftar sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat jam 4 petang ini.

Statistik terkini itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi.

Secara keseluruhan ada 495,196 pengundi yang layak mengundi pada PRN ini dan SPR menyasarkan 70 peratus daripada mereka hadir melaksanakan tugas memilih kerajaan baru hari ini.

Dalam satu hantaran video di Facebook, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menggesa pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi, tanpa menyatakan dengan jelas siapa yang harus diundi mereka.

Pun begitu, video yang memaparkan dia berdiri di hadapan lambang PN itu berjudul “Undilah Perikatan Nasional".

 


4.10 petang, SMK Malim, Melaka Tengah: Agnes Beth mungkin sudah lanjut usia dan tidak lagi mampu berjalan seperti biasa, namun semangatnya untuk mengundi tidak pernah padam.

Menurut anak saudaranya, wanita berusia 83 tahun itu tidak pernah terlepas mengundi sejak layak menjadi pemilih.

"Apabila kita kena mengundi sudah tentu saya akan keluar, kecuali tak ada sesiapa yang nak membawa saya.

"Hari ini saya datang dengan bantuan anak saudara saya," kata Agnes kepada Malaysiakini.


3.50 petang: Data terkini dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan, setakat jam 3 petang kadar keluar mengundi di seluruh Melaka ialah 57 peratus.


3.30 petang, SMK Malim, Melaka Tengah: Pengundi terus hadir untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk kerusi DUN Kesidang.

Sesetengah mereka termasuklah warga emas yang datang ditemani ahli keluarga masing-masing.

Pegawai SPR yang bertugas memberitahu, pusat pengundian di sini menyediakan 12 saluran bagi melancarkan proses untuk 5,800 pengundi berdaftar.

Difahamkan pusat pengundian ini dikunjungi lebih ramai orang pada pagi tadi.


3 petang, SK Durian Daun K: Sebuah ambulans tiba membawa seorang pesakit strok untuk mengundi, lapor Bernama.

Abdul Rahim, 57, yang menggunakan kerusi roda dibawa dari rumahnya di Kampung Durian Daun ke pusat pengundian yang berjarak kira-kira 2.4km menggunakan kenderaan St John Ambulance Malaysia.

Menurut Abdul Rahim petugas SPR di situ sangat membantu dia melaksanakan tanggungjawabnya.

Katanya dia hadir kerana menyedari pentingnya setiap undi untuk memenangkan seseorang calon.

"Walaupun tidak sihat, saya mesti melaksanakan tanggungjawab seorang warganegara," katanya.


2.30pm: Selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilihat menggesa pengundi memilih BN melalui Instagram, beberapa pemimpin politik lain dilihat terus membuat ajakan sama - di sebalik larangan berkempen yang dikenakan SPR pada hari pengundian.

Misalnya Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang memuat naik satu video di Facebook memaparkan temu bual dengan penduduk Melaka.

Mereka ditanya sebab memberikan sokongan kepada BN.

Klip video sepanjang 5.46 minit itu dimuat naik kira-kira tengah hari tadi bertajuk Kestabilan dan Kemakmuran yang menjadi tema manifesto BN.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming juga membuat gesaan agar pengundi Melaka memilih PH.

"Undi Harapan sekarang untuk selamatkan negara dan masa depan anak-anak kita. Jangan sesekali benarkan fanatik, katak politik, dan pencuri menentukan nasib anda. Jom undi!" ciapnya.

Seorang lagi ahli politik yang dilihat melanggar peraturan ialah Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang dirakam melawat kedai kopi Cina di Kampung Machap Baru pagi tadi.

Dia hadir untuk menemui pengunjung premis itu bersama calon Bersatu-PN bagi Machap Jaya, Tai Siong Jiul.

Calon Pakatan Harapan untuk kerusi itu, Law Bing Haw, sudah membuat laporan polis bagi meminta tindakan diambil.


2 petang: Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan setakat jam ini kadar keluar mengundi ialah 50 peratus.

Secara bandingan semasa PRN Sabah berlangsung pada Sept tahun lalu, setakat tengah hari kadar keluar pengundi ialah sebanyak 41 peratus.

Ia kemudian meningkat kepada 66.61 peratus apabila proses pengundian berakhir.


1.20 petang, SK Pengkalan Balak, Masjid Tanah: Calon Pakatan Harapan untuk Tanjung Bidara, Zainal Hassan berkata peratus keluar mengundi di pusat mengundi di kawasan itu sekitar 50 peratus setakat pukul 1.00 tengah hari.

Ini berdasarkan kunjungannya ke lima pusat mengundi.

“Peratusan keluar mengundi tertinggi setakat ini ialah di SK Pengkalan Balak ini iaitu sebanyak 52 peratus.

"Saya ingin mengingatkan pengundi Tanjung Bidara untuk keluar mengundi sebelum jam 5.30 petang ini," katanya.


1.10 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya berkata sehingga tengah hari, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka telah mencapai 36 peratus.

Peratusan keluar mengundi pada PRN Sabah September lalu ialah 41 peratus pada tengah hari.

Peratusan keluar mengundi sehingga peti undi ditutup pada PRN Sabah ialah 75.81 peratus.


1 petang, Pusat Operasi PH, Ayer Molek: PH memberi jaminan bahawa isu wakil parti mereka dihalau dari SK Bendahara Seri Maharaja sudah selesai.

Bagaimanapun, penasihat undang-undang PKR G Manivanan berkata mereka tidak akan menarik balik kenyataan mereka pada polis buat masa ini.

"Kita biarkan dulu sebab proses sedang berjalan. Ada komitment untuk bekerjasama.

"PRN masih sedang berjalan, jadi kita tak nak buat apa-apa keputusan. Kalau kerjasama itu dibuat dengan ikhlas jadi kita terima dengan hati yang terbuka," katanya.

Sementara itu, PKR membangkitkan isu berbeza dengan SPR — mengenai Borang 14 SPR.

Menurut mereka, notis rasmi di setiap pusat mengundi menyatakan bahawa Borang 14 boleh ditandatangani oleh ejen pengiraan dan tidak perlu ditandatangani oleh Ketua Tempat Mengundi.

Borang 14 adalah kenyataan rasmi pengiraan di stesen itu dan tidak boleh diubah. Sebelum ini, tanpa tandatangan pada Borang 14 oleh Ketua Tempat Mengundi SPR, keputusan boleh diubah.

PKR bimbang jika Borang 14 tidak ditandatangani oleh Ketua Tempat Pengundi, ia tidak akan disahkan di mahkamah dan perkara perundangan.


12.55 tengah hari, SK Pengkalan Balak, Masjid Tanah: Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya mula bergilir-gilir untuk makan tengah hari, berikutan arus kehadiran pengundi yang hadir semakin perlahan.

Sekumpulan kecil kakitangan mula mengedarkan makanan yang dibungkus dan menjamah nasi beriyani mereka dengan ayam kuah cili, manakala yang lain terus mengendalikan stesen.

Ada yang pada mulanya keberatan untuk makan tengah hari sekarang, tetapi didesak oleh pekerja yang lebih senior untuk mengambil peluang apabila mereka ada.

"Lebih baik makan tengah hari sekarang, nanti lapar," kedengaran dia memberitahu rakan sekerjanya.


12.45 tengah hari - SK Bukit Rambai - Barisan panjang kelihatan di luar SK Bukit Rambai, dengan lebih 50 pengundi sedang beratur untuk membuang undi.

Namun barisan bergerak agak laju, dengan purata pengundi menghabiskan masa 15 minit keluar masuk pusat mengundi.


12.40 tengah hari - Suruhanjaya Pilihan Raya berkata setakat pukul 11 pagi, peratusan keluar mengundi telah mencapai 27 peratus.


12.15 tengah hari, Petaling Jaya: Satu poster yang dimuat naik Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Instragram, yang menggesa pengundi di Melaka agar mengundi BN, dilihat mungkin melnggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dalam poster yang dimuat naik di Instagram Story, ia memaparkan imej animasi Khairy agar memilih BN demi "kestabilan dan kemakmuran".

Walaupun tidak merujuk poster itu secara langsung, Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom memberitahu Malaysiakini bahawa undang-undang menyatakan "tiada kempen dibenarkan pada hari mengundi".


12 tengah hari, Bilik Gerakan Utama PH Ayer Molek: PH dalam sidang media membangkitkan dakwaan seorang wakil parti komponennya diarah keluar dari puast mengundi.

Mohd Bazain Yusof, 66, yang mewakili calon DUN Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim, berkata dia telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu di Balai Polis Kandang.

Dalam laporan yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa insiden itu berlaku pada pukul 10.30 pagi, di mana dia diminta oleh seorang pegawai pilihan raya yang dia perlu beredar selepas dua jam di SK Bendarhara Seri Maharaja Kandang.


11.15 pagi, Dewan Bukit Beruang Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya: Seorang wanita diberitahu oleh pegawai SPR yang namanya telah membuang undi, sebaik dia tiba di pusat mengundi.

Pegawai itu berkata oleh itu dia tidak boleh mengundi, walaupun jarinya belum dicalit dengan dakwat kekal.

Calon DAP Ayer Keroh Kerk Chee Yee kemudian tiba di pusat itu dan menuntut penjelasan daripada SPR.

"Wanita ini mengadu kepada kami yang dia belum mengundi dan dicalit dakwat, tetapi namanya telah dipotong.

"Maka dia tak boleh mengundi kali ini.

"Saya harap perkara ini akan disiasat dan dia akan membuat laporan polis," katanya.


11.09 pagi, Dewan Bukit Beruang Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya: Pengerusi Gerakan Melaka Michael Gan Peng Lam yang bertanding di DUN Ayer Keroh membuat kunjungan ke pusat mengundi ini.

Namun ada pengundi yang dilihat tidak mengenali dirinya.

Seorang pengundi berusia 70 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Leong berkata, dia tidak kenal Gan dan tidak melihatnya ketika kempen.

Sementara itu, Gan berkata peluang calon Gerakan untuk menang kali ini "sangat memberansangkan".

Mengulas tindakan kerajaan Kedah yang melarang operasi kedai judi, Gan memberi jaminan ia tidak akan dilaksanakan di Melaka selaku negeri yang mengutamakan pelancongan.

Dia juga berkata pihak lawan "memainkan" isu tersebut ketika pilihan raya.

"Kita bergantung kepada pelangongan, jadi bagi saya, saya tak fikir ia akan beri kesan kepada Melaka. Ia tak akan berlaku di sini.

"Jangna dipengaruhi oleh mereka yang kata apa yang berlaku di Kedah akan berlaku di Melaka," katanya lagi.


10.30am, Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah: Orang ramai beratur di pusat mengundi di mana penyandang jawatan ketua menteri sebelum ini,. Sulaiman Md Ali mengundi lebih awal untuk kerusi Lendu.

Sulaiman telah menjadi Adun Lendu sejak Mei 2013 dan memegang tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2020 berikutan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan bahawa setakat pukul 10 pagi peratusan keluar mengundi telah mencecah 17 peratus.


10.12am - SMK Paya Rumput - Calon BN Dun Paya Rumput selesai mengundi dan berjalan menuju ke pemberita dan jurugambar yang hadir.

Selain bapanya, turut bersamanya merupakan isterinya Ernie Aidilia Karim yang juga mengundi di tempat yang sama dan memberikan sokongan kepada suaminya yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya kali ini. 


9.45am - SMK Paya Rumput - Terdapat sedikit ketegangan antara anggota polis yang bertugas di kawasan perkarangan pusat pengundi dengan seorang pengundi.

Difahamkan, pengundi tersebut gagal mematuhi arahan pihak polis supaya meletakkan kenderaannya dengan jarak 50 meter daripada kawasan pusat mengundi.

Menurut pengundi tersebut dia mempunyai masalah kesihatan yang memerlukannya meletakkan keretanya kurang 50 meter daripada jarak yang dibenarkan.

Disebabkan tidak puas hati dengan arahan dari pihak polis tersebut, dia menengking anggota polis itu dan bergegas memasuki pusat mengundi bersama isterinya. 


9.40 am - Tujuh peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi ini, lapor Bernama


9.32am - SMK Paya Rumput - Calon BN Paya Rumput Rais Yasin hadir di pusat mengundi diiringi bapanya Yasin Md Sharif yang turut mengundi di tempat yang sama.

Rais yang tampil dengan baju bercorak batik berwarna biru muda berhenti seketika apabila disapa media dan bergambar sebagai claon nombor satu di DUN Paya Rumput.

Pada PRN Melaka ini, DUN Paya Rumput menyaksikan pertembungan lima penjuru. Selain Rais, calon-calon lain yang turut bersaing adalah Shamsul Iskandar Md. Akin (PH), Muhammad Faris Izwan Mazlan (PN), Mohamad Hashidi Mohd Zain (Putra) dan Mohd Jaini Dimon(Bebas). 


9.20 pagi - SK Jeram, Masjid Tanah - Bekas perdana menteri Najib Razak menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu membentuk majoriti.

Apabila wartawan bertanya kepadanya tentang apa yang akan dilakukan oleh BN jika keputusan pilihan raya menyaksikan situasi DUN tergantung, Najib berkata: "Nanti jadi situasi macam itu, baru kita akan putuskan.

"Siapa kata akan ada situasi gantung?"

Najib meluangkan masa kira-kira 10 minit bertemu calon BN Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh dan penyokong BN yang lain sebelum beredar ke lokasi lain.


9.15am - SMK Paya Rumput - Meskipun jangkitan Covid-19 belum reda, beberapa pengundj yang ditemu bual oleh Malaysiakini berkata mereka ingin menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Bagi pasangan suami dan isteri Jamin Ali, 67, dan Normah Zohdi, 66, mereka mengharapkan supaya insiden lompat parti di kalangan ahli politik di Melaka tidak berlaku lagi.

"Ini tanggungjawab saya. Kita nak pilih pemimpin kita.

"Saya harapkan tak ada lagi lompat-lompat parti sebab menyusahkan rakyat semua. Kalau tak macam mana nak pulihkan ekonomi kita," kata Jamin.

Manakala seorang lagi pengundi, T. Mogan, 35, turut mengharapkan isu lompat parti tidak timbul sekali lagi.

"Saya datang mengundi sebab saya sebahagian daripada rakyat Melaka. Saya harapkan ada kebaikan untik rakyat," katanya.


Calon Pengkalan Batu dakwa disabotaj

9:10am - SRA Jaim Taman Datuk Tamby Chik Karim, Kesidang - Calon Pengkalan Batu Noorhizam Hassan Baktee tiba di pusat pengundian Kesidang untuk membuang undi.

Noorhizam, yang sering mencetus kontroversi, sebelum ini memenangi kerusi Pengkalan Batu dengan tiket DAP pada 2018. Dia berpaling tadah dan menyertai kerajaan negeri pimpinan BN.

Dia sekali lagi beralih sokongan dan terlibat dengan sekumpulan Adun Umno dan Bersatu menarik balik sokongan terhadap ketua menteri yang mencetus PRN.

Berpakaian hitam kasual, penyandang Pengkalan Batu tiba dengan motosikal, tanpa rombongan.

Ketika ditanya mengapa dia menunggang motosikal, dia berkata dia berjiwa rakyat.

"Saya berjiwa rakyat.

"Mana ada pemimpin boleh kena hujan, panas? Mereka dimanja. saya tidak," katanya.

Motosikalnya dilihat dihias dengan pelekat kempennya, termasuk slogannya "mereka baru menabur janji, saya sudah menabur bakti".

Noorhizam mendakwa kemungkinan disabotaj oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai peruntukan pusat mengundi.

Dia mendakwa dia dan isterinya adalah pengundi di SK Peringgit, sebuah pusat mengundi di kawasan Pengkalan Batu, namun tiba-tiba ditempatkan mengundi di daerah Kesidang pada pilihan raya kali ini.

“Saya kecewa. Kerana saya seorang pengundi. Saya seorang calon. Saya merupakan pengundi di SK Peringgit, tetapi apabila saya semak di komputer saya adalah pengundi di Kesidang," katanya.

Tambahnya, dia telah menghantar surat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya selepas hari penamaan calon, tetapi tidak mendapat jawapan.

Selepas mengundi, Noorhizam menunjukkan jarinya yang berdakwat, dan berkata undi adalah rahsia.

Bertanding di kawasan Kesidang ialah bekas rakan separtinya, Allex Seah Shoo Chin dari DAP.


Calon ketua menteri BN mengundi di sekolah rendahnya

8.40am - SK Durian Daun - Calon ketua menteri BN, Sulaiman membuang undi di sekolah rendahnya sendiri.

Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada SPR kerana proses pengundian berjalan lancar dan dia berpuas hati kerana ramai yang keluar mengundi.

Dia juga menggesa orang ramai yang belum mengundi untuk keluar mengundi kerana pilihan raya negeri Melaka ini adalah untuk penggal lima tahun, dan tidak akan ada lagi pilihan raya negeri tahun depan.


Calon ketua menteri PH buang undi

8.25am - SK Durian Tunggal - Calon ketua menteri PH, Adly Zahari, berbaju putih dan memakai pelitup muka biru, tiba bersama isterinya untuk mengundi.

Barisan panjang sudah dapat dilihat di sini sejak pusat pengundian dibuka.

Parti politik menggesa pengundi keluar awal bagi mengelak ribut petir yang diramal pada sebelah petang meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa pengundi menjarakkan waktu kehadiran mereka sepanjang hari bagi mengelak kerumunan besar.

Adly dari Amanah mempertahankan kerusinya di Bukit Katil tetapi merupakan pengundi di Durian Tunggal di mana rakan partinya, Mohd Sofi Abdul Wahab turut mempertahankan kerusi itu.

Selepas mengundi, Adly menunjukkan jarinya yang berdakwat. 

Bercakap kepada media, Adly menggesa pengundi untuk keluar mengundi lebih awal.

"Ya, cuaca mendung, tetapi saya fikir ia akan menjadi lebih baik pada tengah hari. Kami berharap undi dibuang secepat mungkin," katanya.

Pegawai pilihan raya menggalakkan semua pengundi untuk meninggalkan tempat mengundi selepas mengundi.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Mohd Sofi memenangi Durian Tunggal dengan hanya majoriti 763 undi. Dia memperoleh 5,213 undi berbanding calon BN 4,450 undi dan PAS 1,391 undi.

Pada pilihan raya kali ini, Sofi berdepan calon BN Zhari Abd Kalil, calon PN Ja'afar Othman dan calon bebas Mohd Erfan Mahrilar.


Calon ketua menteri PN buang undi

8.15am - SK Ramuan China Besar, Masjid Tanah - Calon Perikatan Nasional Tanjung Bidara Mas Ermieyati Samsudin keluar dari pusat mengundi selepas membuang undi.

Mas, yang juga calon ketua menteri PN, berkata dia gembira melihat proses pengundian telah bermula dengan lancar dan berharap pengundi akan keluar beramai-ramai untuk membuang undi.


Pusat mengundi dibuka

8.00am: Pengundian bermula untuk semua 28 kerusi DUN di Melaka. Terdapat seramai 495,195 pengundi yang layak. Mereka akan mengundi di 217 pusat mengundi di seluruh negeri.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan langit cerah di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah tetapi menjangkakan ribut petir di seluruh negeri pada sebelah petang.

Tinjauan hari ini akan dijalankan di bawah prosedur operasi standard yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Semua pengundi mesti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, merekod suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera di pusat mengundi.

Mereka yang mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celcius masih dibenarkan mengundi tetapi mesti membuang undi di khemah berasingan dan selepas itu mereka akan diperiksa oleh pegawai kesihatan.

Pada 16 Nov lepas, seramai 11,557 pemilih awal berdaftar terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis turut mengundi.

PRN dicetuskan oleh sekumpulan Adun Umno dan Bersatu yang berpaling tadah daripada parti mereka untuk cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan mereka sendiri.

Penyandang ketua menteri Umno Sulaiman Md Ali menghalang percubaan mereka membentuk kerajaan baru bersama pembangkang dengan meminta pembubaran DUN pada 4 Okt, membuka jalan kepada pilihan raya baru.

Mana-mana gabungan mesti memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru.