Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Jangan serik tolong mangsa along’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin MCA yang aktif membantu orang awam terutama mangsa along, dinasihatkan supaya tidak serik dan terus melakukan usaha murni itu, namun perlu bijak bagi mengelak sebarang pertelingkahan atau menerima ugutan.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Michael Tay Chee Boon yang gigih membantu mangsa along di negeri ini sejak kira-kira 10 tahun lepas berkata, ini kerana tugas mereka adalah membantu dengan cara berbincang bagi menyelesaikan masalah dihadapi mangsa.

"Jangan serik, terus bantu mangsa tetapi jangan bergaduh dengan along, kerana kerja kita adalah untuk berbincang dengan mereka (along) dan mengurangkan beban mangsa. Jika tidak mampu, minta nasihat daripada yang lebih mahir.

"Kerana along ini hanya mahu duit sahaja, jadi kita harus bantu mangsa dengan berbincang bersama (along) agar jumlah hutang itu dapat diturunkan lagi dan sebagainya," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dua pemimpin MCA di Johor menerima ugutan daripada along, dipercayai kerana membantu mangsa.

Sementara itu Tay berkata setiap bulan beliau menerima tiga atau empat aduan mangsa along yang datang kepadanya untuk mendapatkan bantuan.

- Bernama