Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalau Covid-19 teruk, nak buat pilihan raya sebab apa? - Anwar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam perjalanan pilihan raya.

Mengulas perjalanan PRN Melaka, katanya jika SOP ketat itu benar-benar dibuat berdasarkan pertimbangan keadaan Covid-19 yang teruk, maka PRN tidak seharusnya pun diadakan.

Dia turut menyifatkan ada bahagian daripada SOP yang tidak munasabah.

Anwar berkata, SOP itu juga dibuat tanpa berbincang orang awam mahupun parti, selain mendakwa ada perbezaaan SOP antara “kelas atasan dan kelas bawahan”.

“Dia kalau untuk menjaga kesihatan tu saya tidak pertikai. Kalau betul serius (keadaan Covid-19), yang nak buat pilihan raya sebab apa?

“Macam di Melaka, kalau dia menang, kerajaan boleh tubuh, kalau kita menang, bubar... Jadi itu yang berlaku. Kalau betul jadi masalah, mengapa nak diadakan pilihan raya?

“Kalau tak ada masalah, adakan pilihan raya. Itu perkara yang asas, termasuk di Sarawak,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Peluncuran Jentera PKR Sarawak di Miri hari ini.

Dia dipercayai merujuk kepada kejadian tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu kerana penarikan sokongan empat orang Adun. Kerajaan negeri kemudiannya diambil alih BN-PN setelah meraih majoriti mencukupi.

Bagaimanapun pada Oktober lalu, hal sama berulang apabila empat Adun menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri BN-PN dan mahu membentuk kerajaan bersama PH.

Namun kali ini, penubuhan kerajaan baru disekat apabila penyandang ketua menteri Sulaiman Md Ali mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN pada 4 Oktober.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti ada meminta kelonggaran terhadap SOP ketat SPR yang melarang ceramah, syarahan, atau kempen secara fizikal.

DUN Sarawak dibubar secara rasmi pada 3 Nov setelah proklamasi darurat setempat di Sarawak ditamatkan, membuka jalan untuk PRN diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari 3 Nov.