Skip to main
Logo Malaysiakini

Nik Abduh, Khairuddin ucap tahniah kepada BN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Pemimpin PAS Nik Abduh Nik Aziz mengucapkan tahniah kepada BN kerana melakar kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata kemenangan besar itu diraih kerana BN bersyukur.

Nik Abduh turut merakamkan takziah buat partinya yang tewas dalam persaingan itu.

"Tahniah Melaka dari Pulau Melaka. Tahniah BN daripada rakan MN. Takziah PAS daripada PAS.

"BN, benar-benarlah bersyukur, bertambahlah lagi. PAS, benar-benarlah bermuhasabah. Bertambahlah istiqamah," katanya pada satu hantaran di Facebooknya malam ini.

Keputusan tidak rasmi setakat ini BN telah berjaya membentuk kerajaan selepas menang 19 kerusi, Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lima.

PAS bertanding bersama dengan PN bertanding di lapan kerusi, bagaimanapun gagal memenangi sebarang kerusi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi calon PAS hilang wang pertaruhan di tujuh kerusi.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin PAS, Mohd Khairudin Aman Razali, berharap keputusan PRN Melaka tidak akan mempengaruhi kerjasama peringkat pusat.

Katanya PAS menerima keputusan itu dan menganggap kekalahan mereka sebagai adat dalam bertanding.

Dia yang kalah dalam pemilihan jawatankuasa pusat PAS baru-baru ini juga berharap muafakat yang sedia ada bukan saja diteruskan malah diperkasa kerana "jalan di hadapan masih bersimpang siur. 

"Cabaran PRU ke-15 usah dipandang ringan. Peratus turun mengundi di PRN Melaka yang rendah belum boleh dijadikan ukuran," katanya.

Mohd Khiaruddin juga berkata bersama PN memang PAS mendapat pertambahan undi namun yang lebih penting ialah parti itu perlu mencapai kemenangan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan, pula berkata dia berharap tanggungjawab pemerintahan dapat dijalankan dengan sebaiknya.

"Dan agenda perpaduan ummah terus disuburkan," katanya.