Skip to main
Logo Malaysiakini

38 lagi kematian akibat Covid-19, jumlah korban 29,978

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan 38 kematian akibat Covid-19 semalam (20 Nov), menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 29,978.

Ini adalah jumlah kematian paling rendah yang dilaporkan dalam tempoh 13 hari.

Daripada jumlah itu, 13.2 peratus atau lima orang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 909 kematian bagi setiap 1 juta penduduk, dan keempat

terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan.

Terengganu mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 12, atau 31.6 peratus daripada kematian yang baru dilaporkan.

Baki kes kematian selebihnya berlaku di Perak (5), Kedah (4), Sarawak (4), Selangor (4), Sabah (3), Melaka (2), Johor (1), Kelantan (1), Pahang (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Semua kematian yang dilaporkan berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Purata 58 kematian dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 50 kematian dalam tempoh tujuh hari, yang menunjukkan penurunan.

Sehingga kini, 1,163 kematian akibat Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 2,704 dilaporkan pada Oktober, 9,680 pada September, 7,642 pada Ogos dan 3,858 pada Julai.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 69,485 kes aktif Covid-19 dilaporkan. Ini adalah peningkatan sebanyak 6.4 peratus daripada 65,319 kes aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 15 peratus daripada 81,775.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan tengah malam tadi memberikan butiran lanjut mengenai jangkitan kes baru Covid-19 semalam.

Daripada 5,859 kes baru semalam, sebanyak 156 daripadanya dikesan kepada kluster Covid-19 yang sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 101 (64.7 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 34 (21.8 peratus) adalah dari institusi pendidikan.

Sebanyak 21 kluster lagi (13.5 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan penularan komuniti.