Skip to main
Logo Malaysiakini

BN menang kerana pengundi mahukan kestabilan politik - Wee

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan pengundi mahukan kestabilan politik di negeri ini dan seluruh negara, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

"Seperti mana yang kita tekankan di Melaka, kestabilan bawa kemakmuran. Saya yakin moto yang sama kita terap di peringkat pusat, rakyat jelata mahu lihat supaya ada kestabilan politik.

"Sebab tu dalam kita berdepan pandemik, kita perlu kestabilan politik, perlukan kerajaan yang bersatu padu untuk kita capai kemakmuran dan kita bangunkan ekonomi demi kemakmuran rakyat," katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Katanya, mesej yang disampaikan oleh pengundi adalah jelas iaitu untuk memilih sebuah kerajaan yang menekankan tentang kestabilan politik dengan pemimpin yang berpengalaman.

"Sudah tentu kita lihat aspek ini jauh lebih penting, kita mementingkan hal kebajikan rakyat daripada yang lain.

"Di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob), saya rasa kita dapat teruskan apa jua hubungan, saya doakan terbaik, yang akhirnya dapat nikmat adalah rakyat jelata,” tambah Wee yang juga menteri pengangkutan.

Pilihan raya negeri Melaka yang berakhir semalam, menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

MCA dan MIC yang tewas di semua kerusi pada pilihan raya umum 2018, masing-masing memenangi dua kerusi dan satu kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya memenangi lima kerusi berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada 2018 dengan DAP memenangi empat kerusi dan Amanah satu kerusi. 

Manakala dua lagi kerusi dimenangi Bersatu.

Sementara itu, Wee memberi bayangan bahawa anggota exco kerajaan negeri yang baru tidak akan lagi terdiri daripada daripada satu kaum, sebaliknya wakil berbilang kaum selepas MCA dan MIC memenangi sebahagian daripada kerusi yang mereka tandingi semalam.

"Kali ni kita rasa kagum bukan saja kita ada dua wakil rakyat daripada MCA tapi kita juga mempunyai wakil MIC yang menang.

“Ini menunjukkan semangat BN yang telah ditunjangi sejak sebelum merdeka," katanya.