Khairy: Masih terlalu awal untuk BN putuskan bergerak solo pada PRU15
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan masih terlalu awal bagi BN untuk memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Khairy berkata meskipun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.
“Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi. Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau.
Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan serta Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi DUN pada PRN semalam.
“Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP). Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baru, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai