Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Putra sekadar berkayuh dengan lidi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Rakyat Melaka telah memilih semalam. Rakyat Melaka telah membuat keputusan dengan memberi kemenangan yang besar kepada BN. Putra turut mengucapkan tahniah kepada BN dan percaya rakyat akan memperolehi apa yang dihajati apabila rakyat memilih BN.

Putra yang pertama kali menyertai pilihan raya telah memperolehi pengalaman yang cukup bermanfaat melalui PRN Melaka. Putra berhajat mendaki gunung Everest, namun tidak kesampaian walaupun di kaki gunung Everest. Namun, semangat jati diri untuk mencuba pertama kali, menimba pengalaman dan menguji ketahanan telah diperolehi.

Pengalaman yang pahit tapi nikmatnya ialah bertarung dalam serba kekurangan secara mengejut tanpa persediaan yang cukup membuktikan semangat juang warga Putra amat tinggi dan boleh dibanggakan. Pengalaman yang berharga ialah pengajaran jika ingin bertarung, jentera kena lengkap dan keperluan cukup. Senjata tanpa peluru memang sukar kerana lawan mempunyai segala-galanya.

PRN Melaka diadakan dengan SOP yang ketat. Tiada kempen bersemuka dan tiada ceramah. Bukan semua pengundi pergi ke kedai makan, masjid mahupun kedai-kedai untuk mendapatkan maklumat secara terus dengan jentera atau ahli parti. Manakala Putra sebuah parti baru. Medan terbaik untuk mempromosikan Putra kepada rakyat telah disekat.

Pengundi belum sempat mengenali Putra berbanding parti yg berusia berpuluh tahun dan pengundi yang sudah biasa melihat simbolnya. Maka sebab itu Putra sertai PRN Melaka dengan tujuan memberi salam dan sekadar memperkenalkan diri namun SOP yg dikenakan, nak menyampaikan salam pun sukar .

Putra juga langsung tiada kemampuan untuk menaja secukupnya bahan-bahan kempen melalui digital dan secara maya.Sekadar mendapat ehsan satu dua media sosial, itu pun sepintas lalu sahaja kecuali BBTV. Namun pengikutnya belum ramai.

Putra akan membuat kajian teliti dan mendalam mengenai PRN Melaka dalam semua aspek termasuk kemenangan yang besar yang diperolehi oleh BN dan sebab-sebab kemenangannya.Putra ada maklumat yg agak sahih bagaimana BN menang besar tapi biarlah Putra simpan dulu dan kekalahan luar biasa yang di hadapi PH dan PN.

Segala faktor yg menang dan yang kalah sepanjang PRN Melaka yg diadakan secara mengejut dgn SOP yg amat tidak masuk akal dalam proses demokrasi pilihan raya kali ini akan dicerna dan merangka gerak kerja lebih baik bagi persediaan Putra menghadapi PRU15 akan datang.

Melihat statistik keputusan kerusi, parti yang puluhan tahun pun tidak memenangi satu kerusi pun. Ini merupakan kekalahan gergasi-gergasi parti gabungan yang mengejutkan.

Kekalahan PN yang juga parti sebahagian dari kerajaan pusat yang didukung oleh Bersatu dan PAS juga amat mengejutkan.

Jika Putra hilang deposit memang sudah dijangka, tapi apabila ada calon-calon Bersatu dan PAS yang gah dengan pemimpin-pemimpinnya yang berjawatan tinggi dan sepanduk, bendera dan papan iklan yg begitu banyak namun ada juga calon-calonnya hilang deposit, maka apa sangatlah pada Putra yang pemimpinnya amat kerdil, sekadar berkayuh dengan lidi.

Maka sebab itu Putra langsung tidak kecewa atau gundah-gulana, malah berasa amat bangga dengan percubaan keberanian kelima-lima calon Putra masuk gelanggang seperti, semangat kebangkitan perjuangan iftifada anak-anak Palestin.

Dari awal Putra menyatakan penyertaan Putra adalah sekadar pemanas badan menjelang PRU15.

Syabas kepada lima calon Putra kerana berani mencuba dan berkorban keringat setakat yang termampu. Semuanya telah menunjukkan jati diri serta aura semangat juang tinggi yang bermakna untuk kelangsungan perjuangan tanpa noktah demi Islam dan peribumi.


IBRAHIM ALI ialah presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.