Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat balak simpan lebih RM500 juta di akaun luar pesisir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebelum subuh, Lunai Pada sudah bersiap sedia untuk memulakan hari.

Wanita itu tinggal di kampung Long Pakan, sebuah komuniti kecil Penan di wilayah Baram Tengah yang terletak kira-kira 150km dari bandar terdekat di Miri, Sarawak.

Selepas sarapan ringkas, Lunai bergerak ke dalam hutan berhampiran untuk mengutip rotan bagi membuat kraftangan untuk dijual.

Penduduk kampung lain mengumpul buah-buahan, akar-akar kayu atau pun memburu binatang.

Long Pakan merupakan komuniti yang terdiri daripada kira-kira 55 keluarga Penan. Penduduk kampung menjalani gaya hidup sederhana dengan mengerjakan tanah dan mengambil hasil hutan.

“Kami bukan seperti orang bandar. Kami tidak pergi ke pejabat untuk bekerja atau ke pusat membeli-belah untuk membeli barangan.

"Hutan menyediakan apa yang kami perlu," kata ketua kampung, Pada Jutang.

Namun sejak Ogos tahun ini, penduduk kampung berdepan dengan syarikat gergasi pembalakan, Samling Group.

Syarikat itu diberikan permit untuk memulakan operasi pembalakan di kawasan yang dianggap sebagai tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) oleh Penan di Long Pakan.

NGO yang berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fonds (BMF) mendakwa penduduk kampung Long Pakan melihat pokok balak pertama ditebang oleh Samling Group pada penghujung Ogos lalu, terdiri daripada 109 batang balak di Ba Nyepgah.

Penghadang dengan pantas dibina oleh penduduk kampung untuk menghalang Samling daripada menggerakkan jentera dan peralatan pembalakan.

Jutang juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan Samling menceroboh tanah NCR.

Pertikaian antara Samling dan Penan masih belum selesai dan penghadang itu masih ada sehingga hari ini.

Syarikat luar pesisir berpangkalan di British Virgin Islands

Wilayah Baram terdiri daripada beberapa hutan primer yang terakhir di Sarawak, yang menarik minat syarikat pembalakan untuk operasi pembalakan mereka.

Menurut BMF, kira-kira 90 peratus daripada hutan primer Sarawak telah ditebang.

Samling adalah salah satu syarikat pembalakan terbesar yang beroperasi di negeri ini. Syarikat utama lain termasuk Ta Ann, Reimbunan Hijau, Shin Yang dan Interhill.

Ketika perselisihan antara Penan dan Samling berlarutan di Borneo, dokumen yang dikesan sejauh di Caribbean mendedahkan perbezaan ketara antara kedua-duanya.

Dokumen itu, sebahagian daripada pendedahan Kertas Pandora, menunjukkan bahawa hanya dalam salah satu anak syarikatnya, Samling memegang lebih daripada RM500 juta aset dalam pegangan luar pesisir.

Menurut dokumen itu, yang diperoleh oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan dilihat oleh Malaysiakini, pengasas Samling Yaw Teck Seng menubuhkan sebuah syarikat luar pesisir yang berpangkalan di British Virgin Islands bernama Caribbean Esskay Limited.

Sehingga Mac 2017, Caribbean Esskay mempunyai nilai aset sebanyak AS$115 juta (RM503 juta).

Syarikat itu ditubuhkan dengan bantuan syarikat perkhidmatan kewangan Trident Trust, sebuah firma yang digunakan oleh kebanyakan orang kaya global untuk menubuhkan firma dan amanah luar pesisir.

Ketika dihubungi, jurucakap Samling berkata Caribbean Esskay adalah sebahagian daripada kumpulan itu dan merupakan anak syarikat milik 100 peratus Samling Global Limited, yang pernah disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong.

“Syarikat itu pula memiliki 100 peratus Barama Company Limited, yang aktif dalam industri pembalakan di Guyana.

“Sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, kami mematuhi undang-undang negara tempat kami beroperasi, termasuk keperluan untuk memenuhi semua tanggungjawab percukaian kami,” kata jurucakap itu.

Kertas Pandora, yang diperoleh oleh ICIJ melalui sumber tanpa nama, mengandungi 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai (tax haven) di seluruh dunia.

BACA: Bagaimana Daim, orang kaya Malaysia guna Singapura simpan duit di luar negara

Tidak asing dengan kontroversi

Teck Seng mengasaskan Samling pada 1963. Walaupun syarikat itu memulakan perniagaannya dalam industri pembalakan, hari ini ia telah berkembang termasuk dalam perladangan kelapa sawit, automotif dan pembangunan hartanah dengan kira-kira 20,000 pekerja di seluruh dunia.

Sebahagian besar perniagaan kumpulan itu adalah dalam operasi pembalakan di Sarawak.

Syarikat itu adalah milik persendirian dan tidak menerbitkan hasil kewangannya. Bagaimanapun, Teck Seng dan anaknya Yaw Chee Ming disenaraikan dalam Forbes Malaysia 50 Terkaya 2021 di kedudukan ke-46 dengan nilai bersih AS$360 juta (RM1.5 bilion).

Selama bertahun-tahun, Samling tidak asing dengan kontroversi yang melibatkan operasinya di peringkat antarabangsa dan global.

Samling terlibat dengan Concord Pacific Ltd, sebuah syarikat yang didenda AS$100 juta pada 2011 (kira-kira RM305.59 juta pada kadar pertukaran) oleh kerajaan

Papua New Guinea kerana pembalakan haram berskala besar sebagai sebahagian daripada projek jalan Kiunga-Aiambak di negara itu.

Teck Seng menafikan bahawa Samling memiliki Concord Pacific, dan mengatakan Samling hanyalah pemegang saham minoriti.

Pada 2010, Dana Pencen Norway melepaskan pegangannya dalam Samling Global Limited, yang kemudiannya disenaraikan dalam Bursa Saham Hong Kong, disebabkan dakwaan bahawa kumpulan itu telah berulang kali melanggar peraturan dalam aktiviti pembalakan di Sarawak dan Guyana, yang menyumbang kepada pembalakan haram dan kerosakan alam sekitar yang teruk.

Konflik dengan kaum Penan

Di peringkat tempatan, Samling kini menyaman kumpulan alam sekitar Save Rivers sebanyak RM5 juta kerana memfitnah berikutan tujuh artikel yang dimuat naik antara 23 Jun tahun lalu dan 10 Mac tahun ini, berhubung pensijilan kayu balak oleh Samling di wilayah Baram.

Samling juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan masyarakat Penan bahawa mereka telah menceroboh tanah NCR dan terlibat dalam operasi pembalakan haram.

Syarikat pembalakan itu berkata ia telah menerima persetujuan daripada 56 ketua bilik Long Pakan (wakil keluarga dalam komuniti Long Pakan), dan ia telah diberikan Permit to Enter Coupe or PEC untuk memasuki kawasan 01A, T0405 Layun pada 27 Ogos 2021 untuk tujuan pengekstrakan kayu balak.

"Adalah penting untuk memahami bahawa klasifikasi tanah NCR adalah perkara yang rumit dan beberapa syarat utama perlu dipenuhi sebelum mana-mana tanah boleh diklasifikasikan sebagai tanah NCR," kata jurucakap Samling ketika dihubungi.

Tetapi penjelasan ini tidak cukup bagi orang Penan untuk percaya bahawa tanah mereka tidak diceroboh, dan hutan yang menjadi tempat mereka bergantung tidak terancam.

Selain Long Pakan, kaum Penan juga telah mengadakan sekatan kedua di Long Ajeng di wilayah Baram Atas pada 9 Sept.

BMF berkata, 12 ketua masyarakat di wilayah itu telah mengeluarkan surat bersama kepada Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg meminta tindakan segera kerajaan negeri untuk menghentikan operasi Samling di kawasan itu.

Bagaimanapun, Samling sekali lagi menegaskan bahawa Jabatan Perhutanan Sarawak telah memberikan permit untuk memasuki kawasan terbabit untuk memotong balak dan mendapat persetujuan daripada ketua kampung setempat.

“Kami sangat membantah sebarang tuduhan ‘pencerobohan’ ke atas hutan purba ini kerana kami telah mendapat persetujuan daripada wakil-wakil perkampungan

Long Selaan dan Ba ​​Buboi di kawasan itu,” tambah syarikat itu.

Surat-surat yang dihantar oleh BMF kepada Jabatan Perhutanan Sarawak bagi pihak masyarakat itu berhubung dakwaan pencerobohan wilayah di Long Ajeng dan Long Laman masih belum dijawab.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Perhutanan Sarawak untuk mendapatkan ulasan tetapi masih belum mendapat maklum balas.

 [Baca berita penuh]