Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS: Perlu ingat kerajaan persekutuan dibentuk oleh pelbagai parti

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS hari ini mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan persekutuan yang ada dibentuk melalui gabungan pelbagai parti, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Ditanya apakah PAS berasa tercabar susulan kemenangan BN pada pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini, Takiyuddin menegaskan perkara itu hanya dilihat dalam konteks PRN berkenaan sahaja.

"Saya melihat ia isu berbeza dan ini dalam konteks Melaka saja.

"Jangan lupa kerajaan persekutuan yang diterajui BN juga dianggotai oleh PAS, Bersatu dan GPS.

"Itu perlu ingat, sikit mahu ingat dan kita sama-sama menjaga, membantu kerajaan Melaka yang baru," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika diminta mengulas apakah kejayaan BN dalam PRN Melaka baru-baru ini dilihat mencabar PN.

Sementara itu Takiyuddin turut menegaskan kerajaan di peringkat persekutuan kini juga merupakan kerajaan yang tidak stabil.

"Kerajaan persekutuan pun kita perlu ingat kerajaan yang tidak stabil, tetapi gabungan daripada semua parti tersebut," katanya.

Ditanya mengenai kesediaan Umno yang mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal, Takiyuddin berkata perkara itu bergantung kepada kabinet dan bukan keputusan parti politik.

"Yang menentukan bila pilihan raya umum adalah kabinet, bukan parti tertentu dan kabinet terdiri daripada pelbagai parti. Jadi biarlah perdana menteri yang tentukan bila tarikhnya," katanya.

PRN Melaka baru-baru ini menyaksikan PAS bertanding menerusi Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan bukannya melalui Muafakat Nasional bersama Umno-BN.

Pada PRN berkenaan, BN mencapai kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi yang ditandinginya, sekali gus membentuk majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH pula hanya menang lima kerusi menerusi DAP (4) dan Amanah (1). 

PN sebaliknya menang dua kerusi melalui Bersatu. 

Bagaimanapun PAS tidak memenangi sebarang kerusi daripada lapan kerusi yang ditandinginya, mencetuskan desakan dari dalam parti itu agar PAS bermuhasabah mengenai hubungannya dengan Umno.