Skip to main
Logo Malaysiakini

Di sebalik menang selesa, kubu BN luar bandar mula goyah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

BN menyapu 21 daripada 28 kerusi pada Sabtu lalu (20 Nov) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disifatkan sebagai "kemenangan besar" dan membolehkan gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga.

Perhatian umum sebahagian besarnya tertumpu kepada kekalahan teruk Pakatan Harapan yang kehilangan 10 daripada 15 kerusi yang dimenanginya pada 2018 dan kebangkitan BN yang telah merangsang keyakinan mereka untuk memulakan perbincangan mengenai pilihan raya umum lebih awal.

Tetapi, di sebalik kemenangan bergaya BN, PRN Melaka juga memberi gambaran tentang perubahan landskap politik negara.

PN, khususnya, walaupun hanya memenangi dua kerusi dalam PRN Melaka, mampu mencabar BN di beberapa kerusi di kawasan pedalaman Melayu luar bandar tidak seperti mana-mana pesaing lain sebelum ini.

Daripada tujuh kerusi DUN yang mempunyai 80 peratus Melayu atau lebih, lima daripadanya menyaksikan peratusan undi BN merosot antara 3.25 hingga 15.98.

PN hampir menawan kubu kuat BN di Serkam dan Tanjung Bidara yang diberjaya dipertahankan oleh Umno masing-masing dengan majoriti tipis, 79 dan 364 undi.

PN turut melakar kemenangan mengejut di Sungai Udang yang 42 peratus pengundi berdaftar adalah anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing.

Pada masa lalu, kem tentera dianggap sebagai simpanan tetap BN dan digunakan untuk memihak kepada kerusi tertentu semasa proses persempadanan semula.

Jika PN yang hanya didaftarkan secara rasmi tahun lalu, mampu mengekalkan momentum dan terus menyerang kubu kuat Umno ini, BN boleh kehilangan kerusi-kerusi selamatnya.

PN cabar penguasaan Umno

"Prestasi PN sebenarnya sangat baik di Melaka dan bukannya mengalami kekalahan teruk seperti yang digambarkan oleh beberapa penganalisis.

"PAS tiada pengaruh besar bermula dari Negeri Sembilan ke arah selatan dan kebanyakan orang tidak percaya Bersatu boleh bertahan tanpa PH dan bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

"Tetapi PN bukan sahaja memenangi dua kerusi, tetapi kini menjadi alternatif nombor satu Umno di Tanjung Bidara, Telok Mas dan banyak lagi kawasan majoriti Melayu," kata pakar politik Wong Chin Huat.

Awang Azman Awang Pawi, seorang profesor madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Akademi Pengajian Melayu, juga mengambil maklum bahawa undi popular di kalangan ketiga-tiga gabungan itu agak hampir sama, di sebalik kemenangan majoriti dua pertiga BN.

"Walaupun BN menang besar, namun dari segi peratusan undi agak tipis sekitar tigas peratus sahaja (antara BN dan PH),” katanya.

Dia menganggarkan BN memperoleh 38.41 peratus undi popular diikuti PH 35.81 peratus, PN 24.32 peratus dan calon-calon lain hanya sebanyak 1.46 peratus.

Bagaimanapun, kebangkitan PN di kawasan pedalaman Melayu untuk memberi saingan sengit kepada Umno menjadikan seolah-olah PH hampir tidak relevan di beberapa kerusi ini.

PH tidak lagi relevan di kerusi Melayu?

Sebagai contoh, calon PH memperoleh 489 undi sahaja di Tanjung Bidara (94 peratus Melayu), dan hilang wang pertaruhannya. BN dan PN masing-masing menerima 3,559 undi dan 3,195 undi, perbezaan 364 undi.

Persaingan sengit di Tanjung Bidara antara Mas Ermieyati Samsuddin dari Bersatu, yang juga calon ketua menteri PN dan calon BN Ab Rauf Yusoh yang merupakan pengerusi Umno negeri, amat berbeza dengan pilihan raya umum 2018.

Pada 2018, BN memenangi kerusi itu dengan 58.15 peratus undi, dan dianggap kerusi paling selamat Umno di Melaka.

PH juga hilang deposit di Ayer Limau (92 peratus Melayu) dengan mendapat hanya 798 undi.

Jumlah undi BN sebenaranya meningkat di kerusi campuran dan membolehkan sekutu Umno - MCA (Machap Jaya dan Kelebang) dan MIC (Gadek) - merampas kerusi-kerusi berkenaan daripada PH.

Cina tetap sokong DAP

Peratusan undi BN yang bertambah baik bukan kerana pengundi bukan Melayu menyokong semula gabungan itu tetapi hakikat bahawa mereka memutuskan untuk tidak mengundi, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan BN.

Kota Laksamana dan Bandar Hilir, dua kerusi dengan peratusan terbesar pengundi bukan Melayu (83 peratus), adalah pengukur yang baik untuk menguji sentimen mereka.

Peratus keluar mengundi di kedua-dua kerusi ini adalah yang terendah di seluruh Melaka, masing-masing pada 58.08 peratus dan 56.24 peratus, di bawah purata negeri 65.85 peratus.

Pada PRU14 peratus keluar mengundi di kedua-dua kerusi tersebut adalah sekitar 85 peratus.

Walaupun, peratus keluar mengundi di Kota Laksamana dan Bandar Hilir menjunam, DAP tetap menang di kedua-dua DUN ini dengan lebih 80 peratus undi.

Di Kota Laksamana, DAP memenangi 81.68 peratus undi pada 2018 dan memperoleh 80.82 peratus pada pilihan raya Sabtu lalu.

Di Bandar Hilir, ia menerima 83.05 peratus undi pada pilihan raya umum lalu dan mendapat 81.19 peratus undi pada PRN ini.

Ini menunjukkan bahawa pengundi bukan Melayu yang memutuskan untuk mengundi sebahagian besarnya masih memihak kepada PH.

Tetapi, jumlah besar yang tidak mengundi - sekitar satu pertiga daripada mereka yang mengundi pada pilihan raya umum 2018, menyebabkan PH kalah di kerusi campuran.

Senario berbeza di kerusi campuran

Pelbagai sebab menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah - kebimbangan keselamatan akibat penularan Covid-19, kekecewaan di kalangan pengundi PH bahawa gabungan itu gagal bertindak pantas dan tegas sehingga tumbang sebagai kerajaan pusat pada 2020 dan keputusan meletakkan pembelot Umno sebagai calon PH.

Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang berpaling tadah daripada Umno, masing-masing kalah teruk di Asahan dan Pantai Kundor.

Awang Azman menganggarkan undi PH boleh meningkat sekitar tujuh peratus jika tidak kerana faktor di atas.

Jika peratusan keluar mengundi bukan Melayu hampir 80 peratus, Kelebang, Pengkalan Batu, Paya Rumput, Duyong dan Machap Jaya juga boleh berada dalam jangkauan realistik PH.

Khususnya, kerusi Duyong dan Pengkalan Batu yang PH hanya tewas, masing-masing dengan 200 dan 131 undi sahaja .

Namun, sekali pun peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi bukan Melayu kembali ke paras 80 peratus dan PH berjaya menggandakan kerusinya kepada 10, ia masih kurang daripada 15 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Ini kerana PN berjaya menarik pengundi Melayu anti-BN dari PH.

Tambahan pula, strategi PN meletakkan calon Melayu di kerusi yang menyaksikan BN dan PH meletakkan calon bukan Melayu juga berkesan.

Sebagai contoh, PN berjaya menang di Bemban, kerusi majoriti Melayu dengan penduduk bukan Melayu yang ramai, dengan 4,211 undi. BN memperoleh 3,883 undi manakala PH di tempat ketiga dengan 3,095 undi. Calon Bebas mendapat 980 undi.

Kehadiran PN jelas mengugat cengkaman kuat BN di kawasan pedalaman Melayu dan pada masa yang sama mengubah corak pengundian di kerusi campuran dengan sedikit perubahan kecil sokongan mampu dengan mudah memihak kepada satu daripada tiga gabungan utama.

Muafakat Nasional untuk pecahkan PN

BN, bagaimanapun, boleh berusaha untuk menghalang PN untuk meluaskan pengaruhnya dengan terus melobi PAS untuk bertukar pihak.

Gabungan BN-PAS (Muafakat Nasional) boleh mengukuhkan kedudukan mereka dengan ketara dengan memingirkan Bersatu, yang sekutunya di semenanjung hanyalah Gerakan yang tidak mempunyai pengaruh pilihan raya yang besar. Ini juga akan menghakis penampilan imej simbolik berbilang kaum PN.

Malah, semasa pilihan raya negeri, beberapa akar umbi PAS mengadu tentang arahan yang mengelirukan sama ada untuk menyokong Umno atau Bersatu, membuktikan bahawa ada beberapa pemimpin pusat sedang berusaha untuk mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berdegil mahu terus kekal bersama Bersatu di bawah PN walaupun terdapat sentimen popular di kalangan akar umbi parti yang mahu bekerjasama dengan Umno.

Melawan presiden PAS bukan sesuatu yang bijak dan mereka yang secara terangan menentangnya telah disingkirkan semasa pemilihan parti awal bulan ini.

Antaranya termasuk Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangannya dalam pilihan raya Melaka, dan dengan sedikit sindiran, menyampaikan ucapan takziah kepada partinya sendiri.

PAS gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya Melaka walaupun hampir menawan Serkam. Parti itu kalah dengan hanya 79 undi.

Ahli geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan bersetuju bahawa kini akan ada percubaan yang lebih sengit untuk memaksa PAS meninggalkan Bersatu dan memihak kepada Umno.

"Jika PAS kembali semula bersama dengan Umno di bawah Muafakat Nasional, maka ia akan memaksa Bersatu memikirkan semula kerelevanan PN... Besar kemungkinan PN tanpa PAS akan menjadi tidak relevan," katanya.

Katanya, Bersatu tidak mungkin akan kembali ke pangkuan PH tetapi boleh menjadi rakan kongsi junior dalam Muafakat Nasional di bawah teraju Umno.

Walaupun sehingga kini, Umno telah menunjukkan keutamaan untuk menghapuskan parti serpihannya, Bersatu itu sepenuhnya.

Tambahnya, ini akan memaksa Bersatu mencari rakan baru.

"Adakah rakan itu Pakatan Harapan atau Muafakat Nasional? Saya lebih menjurus MN. Untuk Bersatu bersama MN. Cuma bezanya Bersatu tak boleh lagi bertegang urat untuk bertanding kerusi ini itu kerana data di Melaka menunjukkan mereka tak sekuat mana.

Walaupun setakat ini, Umno menunjukkan keutamaannya adalah untuk menghancurkan parti serpihannya, Bersatu.

PH tidak boleh bergantung sentimen anti-BN

Bagi PH, ia tidak lagi boleh menarik sokongan Melayu dengan hanya memainkan sentimen anti BN memandangkan mereka kini mempunyai PN sebagai alternatif.

“Kemampuan PH sebagai blok multietnik dipersoalkan selepas PKR kehilangan semua kerusinya dan Amanah hanya menang satu.

“Jika tiada sebarang perubahan sebelum pilihan raya umum ke-15, ia dengan mudah boleh dituduh sebagai gabungan 'DAP Plus' oleh musuh-musuhnya.

“Kini PH perlu bergerak ke hadapan dan membina gabungan sosial yang boleh memacunya pada pilihan raya umum ke-15 dan bukannya hanya bergantung kepada sentimen anti-Umno atau anti-PN,” kata Wong.

Wong berkata PH kini perlu mencari jalan untuk menawarkan agenda yang jelas yang bukan sahaja dapat mengekalkan penyokong bukan Islam dan liberalnya tetapi juga menarik cukup pengundi Melayu Islam.

“Sebenarnya, sekurang-kurangnya bagi penyokong PH, permainan ‘gerakan kemarahan’ sudah berakhir.

"Naratif kerajaan pintu belakang PH dan ketaksuban memulihkan mandat pilihan raya umum ke-14 juga sudah btidak laku," katanya.

Wong juga berkata bahawa kepimpinan Anwar, yang dengan tegas mempertahankan keputusan meletakkan pembelot Umno sebagai calon PH, kini dipersoalkan.

Ini adalah disebalik kredibilitinya yang sudah semakin terhakis akibat berulang kali mendakwa mempunyai majoriti untuk mengambil alih kerajaan persekutuan tetapi gagal melaksanakannya.

Silap jika tolak Ismail Sabri

Bagaimanapun, Wong mengingatkan PH agar tidak cuba menamatkan memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan persekutuan, yang hanya akan memaksa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mempercepatkan pilihan raya umum pada masa mereka masih bergelut.

Ismail Sabri lebih cenderung kepada pakatan BN-PN pada pilihan raya Melaka tetapi ditolak oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang kini lebih berani selepas strategi BN bertanding secara bersendirian pada pilihan raya Melaka membuahkan hasil.

“Ismail Sabri tersepit antara Umno dan Bersatu tetapi jika dia bijak, dia tidak akan mengalah dan mendakan pilihan raya awal.

“Tempohnya sebagai perdana menteri akan berakhir kerana Zahid akan menentukan senarai calon dan bekas perdana menteri Najib Razak mungkin menjadi perdana menteri ke-10.

"Insentif Ismail Sabri untuk menjayakan MOU itu kini lebih kuat. Kelebihannya, PH (89 kerusi) dan PN (50 kerusi) tidak mahu pilihan raya umum ke-15 diadakan serta-merta dan rakyat kini bosan dengan satu lagi pilihan raya lain walaupun PRN Melaka, nasib baik, tidak menyebabkan lonjakan kes Covid-19," katanya.

Mengikut MOU itu, kerajaan Ismail Sabri berjanji untuk tidak mengadakan pilihan raya umum sehingga 31 Julai 2022 supaya kerajaan mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

Namun, Awang Azman mempunyai pandangan berbeza. Katanya, MOU itu sebenarnya mengikat tangan PH.

Bagaimanapun, dia bersependapat bahawa keputusan pilihan raya Melaka telah memperkukuhkan kedudukan Najib, Zahid dan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan, yang semua mereka terlibat dalam pilihan raya negeri itu.

"Kalau dahulu peranan presiden Umno dan bekas PM Najib Razak sering diperlekeh pimpinan Umno sendiri, dan musuh politik mereka, kini kedudukan kelompok presiden Umno, Najib Razak dan Tok Mat semakin kukuh dalam Umno," katanya.

Beberapa pemimpin kanan Umno kini juga mendesak Ismail Sabri untuk menyegerakan pilihan raya umum.

Antaranya, Mohamad yang berkata dia telah memaklumkan perkara itu kepada Ismail Sabri sambil menegaskan BN kini berada dalam kedudukan yang baik.

Siapa ganti Anwar

Ketiga-tiga penganalisis - Awang, Azmi dan Wong - percaya bahawa episod Melaka telah menghakiskan lagi kredibiliti Anwar dan PH perlu mula memikirkan rancangan penggantian.

"Kepimpinan Anwar sekali lagi dipersoalkan. Beberapa pemimpin yang pro-Mahathir akan mendesak supaya dia kembali, atau lebih menarik, Shafie sebagai proksinya.

“Namun kedua-dua mereka tidak boleh menyelesaikan masalah asas PH.

"Penyelesaian paling realistik adalah mungkin peralihan dua langkah, dengan Anwar diganti hanya pada langkah kedua.

"Langkah pertama adalah membentuk kabinet bayangan yang boleh menawarkan kepimpinan kolektif untuk 89 ahli Parlimennya dan persaingan dasar yang berkesan kepada BN dan PN," kata Wong.

“Kekalahan PKR di semua kerusinya adalah pengajaran untuk Anwar agar endengar suara akar umbi.

“Menerima Idris Haron adalah satu kesilapan besar yang tidak membantu malah menyumbang kepada kekalahan PKR.

“(Pemimpin muda PKR seperti) Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli perlu diberi peranan yang lebih besar dalam PKR untuk memantapkan parti,” kata Awang Azman.

Pilihan raya Melaka Sabtu lalu berakhir dengan Umno memperoleh 18 kerusi manakala MCA mendapat dua dan MIC memenangi satu dengan jumlah keseluruhan 21 di bawah BN.

Dalam PH, DAP hanya berjaya mengekalkan empat daripada lapan kerusinya, Amanah mengekalkan satu daripada dua manakala PKR kehilangan ketiga-tiga kerusi yang dimenangi pada 2018. PN memperoleh dua.

[Baca berita penuh]