Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahfuz: Henti beri 'hadiah' kepada bekas perdana menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar menggesa kerajaan segera menghentikan amalan pemberian "hadiah" kepada bekas-bekas perdana menteri di negara ini seperti mana yang dipohon oleh Najib Razak sebelum ini.

Mahfuz berkata ini kerana kesemua bekas perdana menteri di negara ini sudah mendapatkan apa yang sepatutnya diperolehi sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai perdana menteri, ini termasuk elaun persaraan.

Mahfuz berkata demikian ketika membangkitkan tindakan kabinet pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabbri Yaakob yang memberikan kelulusan untuk bayaran khas RM1 juta selepas bersara sebagai perdana menteri seperti ditetapkan mengikut Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980.

"Bayangkan, untuk penggal ini sahaja dah ada tiga perdana menteri. Adakah kita nak lulus lagi, nak berikan lagi peruntukan untuk tiga-tiga perdana menteri ini seorang RM100 juta? 

"Jadi, bagi saya adalah sesuatu yang tidak wajar (dibuat kerajaan). Soal Pekan (Najib) dah buat pengumuman yang dia dah tolak, itu soal Pekan. Tetapi soalnya sekarang adalah kebijaksanaan kabinet ini.

"Oleh itu, kalau ia dikatakan berasaskan kepada peruntukan, saya minta peruntukan ini dimansuhkan dan kalau ia berasaskan kepada amalan untuk memberikan hadiah kepada bekas perdana menteri, maka amalan ini mesti dihentikan kerana mereka sudah ada segala-galanya," tegasnya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Terdahalu, Mahfuz turut mempersoalkan atas penilaian apakah kerajaan meluluskan permohonan Najib bagi peruntukan tanah dan rumah bernilai RM100 juta itu.

"Atas nilaian apa mereka membuat kelulusan ini? Adakah mereka yang pakar (kabinet) ini menganggap itu sesuatu yang wajar untuk diberikan kepada bekas perdana menteri hanya beralaskan kepada jasa?

"Bagi saya, kalau dikirakan jasa sudah tentu anggota dan pesara tentera yang berkhidmat lebih daripada 20 ke 22 tahun mereka juga mempunyai jasa yang besar kepada keselamatan dan keamanan negara tetapi mereka hanya menerima pencen yang begitu kecil. Sedangkan bekas perdana menteri telah pun disediakan persaraan dan pencen yang sangat tinggi.

"Jadi, bagi saya adalah sesuatu yang sangat tidak wajar untuk keputusan kabinet itu dibuat. Jadi, saya nak minta alasan apakah sebenarnya kabinet keluarga Malaysia ini memberikan kelulusan untuk RM100 juta itu sedangkan bantuan dan peruntukan untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, sekolah pondok bagi tahun 2022 sebanyak RM1.4 juta sahaja untuk keseluruhannya sedangkan untuk bekas perdana menteri kerajaan boleh fikir lulus RM100?" soalnya.

Awal hari ini, pembangkang terus membangkitkan isu pemberian hartanah RM100 juta kepada Najib, di parlimen.

Tindakan itu terus dilakukan walaupun Najib telah pun menarik balik hasratnya itu Jumaat lalu, sehari sebelum pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mempertikaikan kenapa kerajaan sebelum ini begitu mudah mempertimbangkan permohonan itu dan menuntut penjelasan daripada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini Tengku Zafrul mengesahkan di Dewan Rakyat, bahawa kerajaan menerima permohonan Najib untuk mendapatkan satu daripada tiga hartanah yang ditawarkan kerajaan selaras dengan peruntukan undang-undang.

Tengku Zafrul berkata, permohonan dibuat Najib selepas Belanjawan 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat, menyebabkan perincian berkaitan ganjaran terbabit tidak dapat disenaraikan dalam pembentangan berkenaan.

Dia mengesahkan perbincangan mengenainya sudah diadakan pada mesyuarat jemaah menteri dan menunggu keputusan dimuktamadkan.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang termasuk Dr Mahathir Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) yang mempertikaikan pemberian kepada seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib kemudian mengumumkan menarik balik hasrat menerima hartanah daripada kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang berdepan situasi sukar kepada Covid-19.