Skip to main
Logo Malaysiakini

Peruntukan JPM lulus tanpa undi belah bahagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah Belanjawan 2022 telah melepasi peringkat jawatankuasa dengan undian suara di Dewan Rakyat hari ini.

Ini meskipun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada hari Sabtu menggesa agar rakan-rakan ahli parlimen PH mencetuskan undi belah bahagi terhadap peruntukan Belanjawan 2022 JPM hari ini.

Walaupun undian suara tidak sebulat suara, ia memihak kepada peruntukan JPM.

Tiada percubaan untuk memanggil undi belah bahagi hari ini. Lima belas ahli parlimen diperlukan untuk menyokong seruan undi belah bahagi sebelum ia dapat dilakukan.

Sebelum ini, Lim menggesa ahli parlimen PH supaya mengadakan undian belah bahagi terhadap peruntukan JPM sebagai tanda protes terhadap keputusan kabinet memberikan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak hartanah bernilai RM100 juta.

Pada 18 Nov, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan bahawa kabinet telah membincangkan permintaan daripada Najib untuk sebidang tanah dan rumah milik kerajaan yang bernilai RM100 juta.

Ia kemudiannya didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meluluskan permohonan itu.

Najib kemudian berkata dia menarik balik permintaannya sebelum Wan Junaidi membuat pengumuman itu.

Pendedahan ini telah mendorong Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk kemudiannya meggesa kajian semula terhadap sebarang persefahaman dengan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 18 Nov, Belanjawan 2022 melepasi peringkat dasar dengan undi suara, dengan ahli parlimen Warisan dan Pejuang gagal mencetuskan undi blok kerana kekurangan sokongan daripada ahli parlimen PH.

PH telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan pada September, dengan gabungan pembangkang bersetuju menyokong Belanjawan 2022.

Sebagai balasan, kerajaan berjanji untuk melaksanakan beberapa siri pembaharuan.