Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Sarawak tak guna SOP sama dengan di Melaka - Wan Junaidi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang tidak akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti yang digunakan dalam PRN Melaka baru-baru ini, kata menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Sarawak mempunyai keadaan yang berbeza dan akan menggunakan SOP yang berbeza,” kata Wan Junaidi semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa hari ini.

Antara perbezaannya, katanya, Sarawak berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Melaka sudah berada di Fasa Empat.

Tambahnya, sempadan Melaka juga tidak sama berbanding Sarawak, yang hanya bersempadan dengan Indonesia, Brunei dan Sabah.

Selain itu, kata Wan Junaidi PRN Sarawak telah dijangkakan sejak sekian lama, sedangkan pilihan raya Melaka datang secara mengejut.

Wan Junaidi menjawab soalan sama ada SOP pilihan raya yang digunakan di Melaka akan digunakan semula untuk PRN Sarawak akan datang, yang dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.

PRN Melaka menyaksikan kerajaan melarang semua perhimpunan fizikal dan acara sosial berkaitan pilihan raya, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ramai ahli parlimen telah mengkritik larangan itu sebagai tidak munasabah dan menyekat, kerana ia sangat menghalang kempen pilihan raya.

Dalam isu berasingan, Wan Junaidi juga mengulangi bahawa kerajaan komited untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti.

Jelasnya, ia masih di peringkat perancangan, kerana ia adalah isu rumit yang melibatkan peruntukan dalam Perlembagaan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Wan Junaidi, yang menyatakan sokongan peribadi terhadap undang-undang antilompat parti, berkata perkara seperti itu tidak boleh tergesa-gesa atau diputuskan berdasarkan emosi atau naluri.

Dia menjawab soalan RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong), yang menggesa kerajaan supaya mempercepatkan undang-undang antilompat parti bagi mengelakkan pilihan raya mengejut berulang begitu kerap.