Takkan bila menang mahu makan bersama, kata Mat Hasan
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan menyifatkan sebagai tidak ada keperluan untuk melantik dua Adun daripada Perikatan Nasional (PN) yang menang pada pilihan raya negeri Melaka Sabtu lalu dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).
Katanya, dia tidak melihat keperluan tersebut, sedangkan BN sudah mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.
“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’?
"Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan. Jika kita tidak cukup kerusi betul la, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai exco," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia di Seremban, hari ini.
Mohamad yang juga adalah timbalan presiden Umno berkata, jika perkara itu dibawa kepada kepemimpinan Umno, dia akan tanya apa keperluannya.
“Bagi saya tidak ada keperluan, jika dibawa kepada kepemimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, okay,” katanya lagi.
Mohamad juga dipetik sebagai berkata, bukanlah menjadi satu kejanggalan sekiranya persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.
“Banyak negara lain, di peringkat kerajaan persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.
“Kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan tersebut, kita setuju.
“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasi mesti ada, itu sahaja,” kata lagi.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali yang berkata, pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan BN mengenai membenarkan penyertaan dua Adun PN dalam kerajaan negeri.
"Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu. Saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini, kita (BN) bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.
"Justeru, apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk kepemimpinan parti, saya akan akur," katanya, lapor BH Online malam tadi.
BN menang 21 dari 28 kerusi DUN pada pilihan raya negeri 20 Nov, meraih majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri. Umno sendiri menang 18 kerusi manakala MCA menang dua dan MIC mendapat satu kerusi.
PN menang di DUN Sungai Udang dan Bemban.
Sementara itu, Sulaiman mengulangi bahawa barisan exco kerajaan negeri yang baru akan diumumkan minggu depan.
"Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk kita agihkan portfolio mengikut kesesuaian.
"Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan exco," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai