‘Rapatkan jurang perlindungan sosial bagi pekerja tak formal, suri rumah, penjaga’
Penyelesaian perlindungan sosial yang baru dan inovatif diperlukan segera untuk mengimbangi antara penyediaan jaringan keselamatan, menggalakkan daya tahan kewangan dan pembangunan modal insan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata lebih banyak usaha kerjasama oleh sektor awam dan swasta juga penting untuk membentuk sinergi yang kukuh antara organisasi keselamatan sosial, pihak berkepentingan dan penggubal dasar yang relevan.
“Tindak balas pantas diperlukan untuk meningkatkan komuniti, mempromosikan hak dan merapatkan jurang perlindungan sosial di negara ini terutama bagi pekerja ekonomi tidak formal, suri rumah atau pekerja keluarga yang tidak dibayar seperti penjaga,” katanya pada pelancaran Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Beliau juga menggesa penggubal dasar untuk mengiktiraf peranan perlindungan sosial dalam mempromosikan kesejahteraan sosial dengan merangka dasar berkesan yang mengambil kira suara rakyat.
Beliau berkata sejak Covid-19 melanda, kerajaan dengan cepat mengetahui bahawa sistem perlindungan sosial termasuk bantuan sosial, insurans sosial dan dasar pasaran buruh boleh bertindak sebagai penstabil automatik semasa krisis serta jaringan keselamatan yang penting untuk rakyat miskin dan golongan rentan.
Oleh itu, Perdana Menteri berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, perlindungan sosial dan projek berpaksikan rakyat susulan Covid-19, yang bertujuan mencergaskan pembangunan sosioekonomi Malaysia untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang serta asas meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata ia akan menjadi satu lagi batu loncatan utama bagi Malaysia untuk mendekati Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang bertujuan untuk memenuhi antara keutamaan pembangunan negara dengan mengguna pakai pendekatan seluruh negara, dengan prinsip tiada siapa akan terpinggir.
Ismail Sabri berkata ini disokong lagi oleh konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, yang berasaskan tiga nilai utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Sebagai Keluarga Malaysia, semua orang perlu bekerjasama untuk mewujudkan sistem sokongan sosial yang lebih kukuh ke arah daya tahan yang lebih luas, terutamanya bagi kumpulan miskin dan rentan.
“Sekiranya ada satu perkara positif yang boleh kita ambil daripada krisis ini, adalah keupayaan negara untuk melakukan sesuatu mengikut cara Malaysia. Lagipun, krisis Malaysia memerlukan penyelesaian Malaysia.
"Penyelesaian Malaysia dalam konteks ini adalah komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan meningkatkan aktiviti penyelidikan di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC),” katanya.
Ismail Sabri berkata majlis itu berfungsi sebagai badan penyelaras terpusat untuk membangunkan pendekatan keselamatan sosial negara yang komprehensif, berdasarkan keperluan kitaran hayat, merangkumi dasar yang berkesan dan cekap serta disokong oleh rangka kerja perundangan dan infrastruktur inklusif yang boleh dipercayai dan menyeluruh.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah menambah peruntukan dan insentif untuk pelbagai program perlindungan sosial, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia dan e-Kasih, dalam pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini.
“Kita kekal komited untuk membasmi kemiskinan melalui kerjasama yang lebih erat dalam agensi kerajaan dan badan berkanun. Ini akan membantu membuka potensi pendapatan, meningkatkan produktiviti isi rumah dan mewujudkan tenaga kerja yang lebih produktif,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai