Skip to main
Logo Malaysiakini

Redzuan nafi desak tiga pemimpin Bersatu letak jawatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Mohd Yusof menafikan dia pernah mengeluarkan kenyataan menggesa kepimpinan Bersatu untuk meletakkan jawatan berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, hujung minggu lalu.

Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata tular kenyataan palsu di media sosial menggesa tiga nama besar dalam kepimpinan parti itu meletakkan jawatan demi menggalas tanggungjawab atas kekalahan tersebut.

“Terdapat satu kenyataan yang tular di media sosial bertajuk Kekalahan Perikatan Nasional (PN) di Melaka harus ditanggung tiga individu yang menggunakan nama saya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya yang kenyataan itu dibuat oleh saya.

“Kenyataan yang berunsurkan fitnah tersebut adalah tanggungjawab daripada pihak-pihak yang terdesak dan kecewa dengan berniat jahat untuk memecahbelahkan kesatuan pimpinan Bersatu,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, tiga pemimpin parti yang dinamakan dalam kenyataan itu termasuk bekas perdana menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin, dan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah Mas Ermieyati.

Gambar fail, kempen PN ketika PRN Melaka.

Kenyataan Redzuan itu dibuat selepas kekalahan PN dalam pilihan raya negeri Melaka pada 20 Nov.

Secara keseluruhan, BN menang dengan dua pertiga daripada kerusi negeri (21 kerusi) - 18 Umno, dua MCA, dan satu MIC - manakala Harapan memenangi lima kerusi.

PN pula berjaya memperoleh dua kerusi manakala dua lagi parti komponennya PAS dan Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi.

Kenyataan yang dinafikan Redzuan itu juga antara lain mendakwa kekalahan teruk PN adalah menandakan strategi membalas dendam tidak diterima rakyat dan kempen PN menemui kegagalan malahan amat memalukan.

“PN harus mempunyai pemimpin yang berjiwa besar termasuk kesudian kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN)," petik kenyataan palsu itu lagi.