KPM nafi guru boleh dihukum kerana berleter
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit disiplin KPM: Bentuk-bentuk hukuman yang dilarang' seperti ditularkan di portal dan media sosial sejak semalam.
Menterinya Radzi Jidin berkata pihaknya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.
"Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.
"KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk hukuman yang dilarang' dalam mana-mana dokumen rasmi KPM.
"Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini yang turut memuat naik kenyataan penafian KPM berkait isu tersebut.
Terdahulu tular di media sosial satu paparan berbentuk jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk hukuman yang dilarang'.
Jadual itu menjadi perhatian ramai apabila 'berleter' turut dikategorikan salah satu hukuman yang dilarang dikenakan terhadap murid-murid.
Antara hukuman lain yang 'dilarang' dalam jadual itu termasuk hukuman fizikal seperti berdiri lama di tengah panas, lari kelililing padang dan berdiri lama di dalam atau di luar bilik darjah.
Manakala hukuman mental terhadap mental dan emosi yang didakwa 'dilarang' termasuk menggunting rambut pelajar, mengarahkan mereka berdiri membuat latihan dan menggantung tulisan di badan mereka.
Sementara itu menurut kenyataan KPM, terdapat enam tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan.
Antaranya, peraturan-peraturan pendidikan (peraturan disiplin) 1959, surat pekeliling iktisas (SPI) bilangan 8 1983, tatacara mengenakan tindakan dan hukuman terhadap pelajar-pelajar sekolah dan semua guru adalah guru disiplin.
Selain itu, tatacara juga melibatkan kuasa guru merotan murid dan prosedur operasi standard (SOP) pelaporan dan tindakan menangani isu disiplin.
"Sehubungan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara dan pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan garis panduan dan SPI berkenaan.
"KPM sentiasa komiten untuk terus melakukan yang terbaik," katanya kenyataan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai