Mahkamah batal saman pemaju hartanah terhadap Felda, FIC
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) untuk membatalkan saman yang difailkan pemaju hartanah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) terhadap kedua-kedua pihak itu.
Pada 9 Julai 2019, SPSB memfailkan saman tersebut untuk mendapatkan milikan tanah kosong kepunyaan Felda di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.
Peguam Kumar Kanagasingam yang mewakili Felda dan FIC berkata Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan berkenaan atas alasan perjanjian pembangunan itu adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak memperoleh kelulusan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda ketika itu.
"Mahkamah membenarkan permohonan Felda dan FIC untuk membatalkan saman itu dengan kos sebanyak RM10,000," katanya ketika dihubungi pemberita selepas keputusan diberikan hakim dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Dalam saman itu, SPSB menuntut pelaksanaan spesifik terhadap Felda dan FIC berkenaan dengan perjanjian yang dimeterai pada 2 Jun 2014. Malalui perjanjian tersebut SPSB dilantik selaku pemaju induk untuk pembangunan bercampur di 24 bidang tanah secara keseluruhannya berukuran 8.36 hektar.
Di bawah perjanjian itu, FIC dikehendaki menyerahkan tanah kosong dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian itu dan juga memastikan bahawa pemilikan itu tidak dibatalkan oleh Felda sebelum projek selesai.
Bagaimanapun, SPSB mendakwa bahawa pada atau sekitar Januari 2016, Felda dan FIC hanya menyerahkan satu bidang tanah kepada syarikat itu. SPSB juga menuntut perintah berbangkit dengan mengarahkan defendan segera memberikan hak milik atas tanah-tanah tersebut kepada syarikat itu.
Selain Kumar, Felda dan FIC turut diwakili oleh peguam Mong Chung Seng, Wong Han Wey dan Medha Ong dari Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill manakala SPSB diwakili RK Sharma, Amrit Pal Singh dan Ng Jun Wei daripada Tetuan Amrit & Company.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai