Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Rayuan: Pengisytiharan darurat tak boleh dipersoal di mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan empat ahli parlimen lain gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan nasihat Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantung Parlimen semasa darurat.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat menolak rayuan oleh Anwar dan empat wakil rakyat lain.

Wakil rakyat lain ialah Salahuddin Ayub (MP Pulai), Johari Abdul (MP Sungai Petani), Abdul Aziz Bari (Adun Tebing Tinggi ) dan Hassan Abdul Karim (MP Pasir Gudang).

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Has memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini tidak tersilap dalam keputusan menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima wakil rakyat pembangkang itu.

Dia berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

Panel itu, yang turut diketuai oleh Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim, sebelum ini telah mendengar hujahan daripada peguam wakil rakyat berkenaan dan peguam kanan persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

Sebelum ini, Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz, telah memfailkan tiga cabaran undang-undang berasingan tetapi serupa terhadap nasihat Muhyiddin untuk penggantungan Parlimen semasa darurat.

Tiga tindakan undang-undang itu menyasarkan kesahihan keputusan kabinet pimpinan Muhyiddin ketika itu, untuk menasihatkan Seri Paduka Baginda supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun, tiga bangku Mahkamah Tinggi yang berasingan memberikan keputusan yang tidak berpihak terhadap tindakan undang-undang oleh Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz.

Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan daripada AGC bahawa Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan pengisytiharan darurat oleh Agong.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, Has berkata wakil rakyat di Parlimen telah menggubal Perkara 150 (6) dan (8) dengan wajar untuk menghapuskan bidang kuasa mahkamah daripada mendengar perkara yang berkaitan dengan pengisytiharan darurat oleh pihak istana.

“Kuasa kehakiman di bawah undang-undang bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan bukannya apa yang difikirkan oleh sesetengah pemikir politik.

"Adalah penting bidang kuasa mahkamah bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya.

Has memutuskan bahawa mahkamah rendah telah memutuskan dengan wajar bahawa Perkara 150 (6) dan (8) adalah mengikut perlembagaan, dan pengisytiharan darurat oleh Agong adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang.

“Perkataan Fasal 8 (Perkara 150) adalah sangat jelas yang menghalang perkara itu daripada penelitian kehakiman. Ia diluluskan dengan undi yang diperlukan oleh ahli Parlimen.

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi (Malaysia) dan mahkamah terikat dengannya," katanya.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa kerana perkara itu tidak boleh diterima oleh semakan kehakiman.

“Walaupun kebenaran diberikan (untuk meneruskan semakan kehakiman untuk mendengar meritnya), ia akan menjadi sia-sia kerana mahkamah dihalang daripada mempersoalkan pengisytiharan darurat oleh Agong.

“Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan. Kami menolak ketiga-tiga rayuan itu tanpa perintah kos,” katanya.

Perayu diwakili oleh beberapa peguam, antaranya ialah Ramkarpal Singh, Gurdial Singh Nijar dan Christopher Leong.

Peguam Andrew Khoo menjalankan tinjauan ringkas untuk Badan Peguam Malaysia.