Skip to main
Logo Malaysiakini

4,360 dari 409,997 = 0.01%?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik menyindir Timbalan Menteri Pendidikan I Dr Mah Hang Soong susulan jawapan berhubung peratusan guru yang memohon persaraan awal.

Dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Mah berkata sebanyak 0.01 peratus memohon bersara awal sejak Januari lalu kerana kelesuan.

Ia berdasarkan fakta sebanyak 4,360 daripada keseluruhan 409,997 orang guru yang membuat permohonan itu.

Tanpa menyebut secara langsung bahawa pengiraan itu salah, Maszlee sebaliknya mengajak pengguna Twitter membuat kiraan sendiri.

"Jawapan bertulis dari timbalan menteri pendidikan kepada saya berhubung bilangan guru minta bersara awal.

"Mari kita buat pengiraan matematik, 4,360 dari 409,997 = %?

"Jawapan timbalan menteri 0.01 peratus," ciap anggota Parlimen Simpang Renggam itu di Twitter, hari ini.

Pengiraan yang betul sepatutnya satu peratus, bukan 0.01 peratus seperti dinyatakan.

Mah dalam jawapan itu berkata, terdapat beberapa alasan permohonan antaranya tidak berminat meneruskan khidmat, faktor keluarga, kesihatan, beban tugas dan faktor peribadi.

"Oleh yang demikian, peratusan guru yang bersara pilihan disebabkan beban tugas adalah sangat rendah.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dengan situasi semasa di mana guru berdepan dengan cabaran yang menyebabkan emosi dan psikologi terganggu.

“Bagi memastikan guru terus bermotivasi KPM menyediakan sokongan sosioemosi melalui khidmat kepakaran sesi kaunseling dan sokongan psikologi," katanya.