Skip to main
Logo Malaysiakini

'Lebih 7 bulan, mana hasil siasatan isu pajakan Ladang Tennamaram?'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peneroka dari Ladang Tennamaram, Bestari Jaya hari ini mengecam kelewatan Kerajaan Negeri Selangor yang berjanji untuk mengadakan siasatan dalaman berkaitan isu pajakan tanah di ladang tersebut kepada dua syarikat yang didakwa dimiliki oleh individu yang sama.

Ketika dihubungi, wakil peneroka, V Jayaraman berkata, mereka mula hilang kesabaran dan kepercayaan terhadap kerajaan negeri Selangor yang berjanji untuk menyiasat perkara ini hampir tujun bulan yang lalu.

"Pada April tahun ini, kami membangkitkan isu ini dengan mengadakan protes. 

"Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli pada 9 April kata bahawa kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan satu siasatan dalaman dan semakan terperinci sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

"Sudah lebih tujuh bulan. Di mana hasil siasatan?" soalnya.

Terdahulu syarikat itu membawa masuk dua jengkaut di kawasan tersebut untuk kerja-kerja membuat jalan namun berjaya dihalang penduduk terbabit.

Jayaraman turut membuat satu laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

Pada 7 April peneroka Ladang Tennamaram bersama Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar, Timbalan Menteri, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan protes selepas kecewa dengan tindakan kerajaan memberikan tanah tersebut kepada dua syarikat swasta.

Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor mendakwa kerajaan negeri memberi pajakan selama 21 tahun kepada dua syarikat swasta yang baru ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pertanian di kawasan tanah tersebut.

Noh juga mendakwa syarikat tersebut ditubuhkan pada Julai 2018, hanya dua bulan sebelum mereka diberi pajakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Dia menambah kedua-dua syarikat dimiliki orang yang sama dan juga didaftar menggunakan alamat yang sama.

Namun, Jayamaran berkata peneroka mendakwa kerajaan negeri gagal mengambil sebarang tindakan.

"Syarikat itu sebelum ini beberapa kali cuba masuk ke kawasan tersebut, Tapi, dihalang oleh kami. Kenapa begitu lambat untuk mengadakan siasatan. Adakah kerajaan negeri cuba sembunyikan sesuatu?" tanya Jayaraman.

Untuk rekod, Juwairiya pada 28 Okt menerusi kenyataan media memberitahu kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan pihak yang terlibat sebelum keputusan dimuktamadkan bagi mencapai situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Adun Sentosa Gunarajah George memberitahu kerajaan negeri akan mengadakan satu mesyuarat melibatkan semua pihak esok.

"Satu mesyuarat akan diadakan di SUK Selangor esok 2 petang antara PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor), peneroka dan pihak syarikat," katanya.