Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mengapa Najib tak disenaraihitam walau tak bayar cukai'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Gara-gara mengingkari arahan supaya tidak mengganggu sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) hari ini diarahkan keluar Dewan Rakyat.

Sebelum itu, pemimpin DAP itu terus mempersoalkan mengapa Najib Razak (BN-Pekan) tidak disenarai hitam dan masih dibenarkan ke luar negara walaupun gagal membayar cukai pendapatan hampir RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mengenai langkah blacklist (senari hitam) orang yang tidak membayar cukai. Kenapa Pekan (Najib) diberi layanan istimewa?

“Sampai boleh ke Singapura? Kenapa dia tidak disenaraihitamkan?” soalnya semasa Tengku Zafrul sedang menggulung.

Menteri itu menjawab bahawa ia adalah keputusan mahkamah untuk membenarkan Najib ke Singapura.

Bagaimanapun, Rayer membantah dan berkata dia tidak merujuk kepada keputusan mahkamah.

Rayer: Bukan isu mahkamah. Fahamlah. Kita disenaraihitamkan kalau tak bayar cukai. Soalan saya, kenapa beliau diberi layanan istimewa? Itu soalan saya.

Kenapa tidak diblacklisted? RM1.75 bilion belum dibayar lagi,.

Zafrul: Jelutong tahu jawapannya. Ini keputusan mahkamah

Rayer: Bukan-bukan, bukan keputusan mahkamah. Menteri tahu bahawa kalau tak bayar cukai, beliau akan secara automatik disenaraihitamkan. 

Banyak rakan-rakan saya yang merupakan peguam pernah disenaraihitamkan di lapangan terbang antarabangsa ataupun mana-mana tempat untuk keluar negara.

Kenapa Pekan tidak disenaraihitamkan? Isu itu isu mahkamah, bicara lain. Tapi bila tidak bayar...

Hujah Rayer kemudian diganggu oleh beberapa penyokong kerajaan seperti Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Mereka mendakwa ia sebagai isu mahkamah dan menggesa timbalan speaker Rashid Hasnon supaya tidak membiarkan perkara itu meleret serta mensia-siakan lagi masa yang diperuntukkan menteri untuk membuat penggulungan.

Rayer seterusnya menegaskan bahawa dia menyoal tentang perkara yang berbeza dan mengulangi soalan awalnya tentang mengapa Najib diberi layanan istimewa dan tidak disenaraihitamkan seperti orang lain kerana tidak membayar cukai mereka.

“Mengembalikan passport adalah perkara lain. Blacklisting someone for not paying adalah isu lain.

“Adakah menteri takut nak jawab? Saya berhak untuk tanya perkara ini. Semua rakyat Malaysia yang tak bayar cukai akan diblacklisted.

“Kenapa Pekan dapat layanan istimewa?” soalnya tanpa mahu mengalah walaupun diarahkan supaya duduk dan berhenti mengganggu perbahasan Zafrul.

Ini memaksa Rashid, mengarahkannya keluar Dewan Rakyat selama 20 minit.

"Saya sudah cakap tadi, saya minta Bentara iring Jelutong keluar rehat di luar selama 20 minit.

“Saya minta maaf. Bentara sila iring Jelutong keluar. Terima kasih Jelutong," kata Rashid

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, diluluskan pada sidang Parlimen, hari ini.

Perkara itu diputuskan oleh timbalan speaker, menerusi undian suara majoriti.

Pada Julai 2019, adalah dilaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah memfailkan saman terhadap Najib, menuntut cukai pendapatan RM1.69 bilion yang masih tertunggak dengan LHDN bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

[Baca berita penuh]