Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan keluarkan syor bagi pemberian dos penggalak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, keutamaan janji temu untuk mendapatkan dos berkenaan akan diberikan mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara.

Menurutnya, jawatan kuasa itu mengesyorkan dos penggalak vaksin Pfizer diberikan kepada penerima vaksin Sinovac bagi semua peringkat umur selepas tiga bulan dos kedua, atau vaksin dos penggalak AstraZeneca bagi yang berumur 50 tahun ke atas.

"Bagi individu yang tidak boleh mengambil vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin AstraZeneca sebagai dos penggalak, vaksin CoronaVac (Sinovac) boleh diberikan.

"Bagi individu yang memilih untuk mengambil vaksin Sinovac sebagai dos penggalak, mereka boleh maklumkan kepada PPV untuk menerima vaksin tersebut. Bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja Teknikal masih mengesyorkan untuk menerima vaksin Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak," katanya dalam satu kenyataan.

Khairy berkata, bagi penerima vaksin AstraZeneca pula, mereka disyorkan menerima dos penggalak bagi jenis yang sama selepas 6 bulan dos kedua untuk setiap peringkat umur.

Bagaimanapun, katanya, vaksin penggalak Pfizer juga boleh digunakan bagi penerima AstraZeneca.

Manakala bagi penerima vaksin lain iaitu Pfizer, Moderna dan CanSino mereka disyorkan menerima dos panggalak selepas 6 bulan daripada dos terakhir; Vaksin Sinopharm selepas 3 bulan daripada dos kedua; dan Vaksin Johnson & Johnson selepas 2 bulan daripada dos terakhir.

"(Mereka) Disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Pfizer bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas," jelasnya.

Tambah Khairy, vaksin dos penggalak diberikan di fasiliti pengamal perubatan swasta atau di luar fasiliti kesihatan swasta (off-site).

"Dos penggalak juga diberikan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang terpilih serta aktiviti jangkau luar (outreach).

"Tarikh janji temu untuk dos penggalak bagi individu yang layak akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau penerima boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih," katanya.

Menurutnya, senarai fasiliti kesihatan awam dan swasta yang terlibat dengan pemberian dos penggalak boleh didapati di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu https://covid19.moh.gov.my/vaksin-covid-19 atau di laman sesawang Protect Health iaitu https://protecthealth.com.my/.