Turki rancang hasilkan jet tempur ‘Hurjet’ dengan Malaysia
Turki merancang mengeluarkan jet tempur "Hurjet" dengan Malaysia jika proses tender berjaya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil.
Beliau berkata ini sebagai usaha untuk mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.
Kotil berkata perkara itu masih dalam proses tender oleh Malaysia dan jika tender berjaya sebanyak 15 jet akan dihasilkan di Malaysia dan tiga lagi di Turki.
"Kami mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik," katanya pada sidang media.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perasmian pejabat Aeroangkasa Turki yang baharu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kampus Cyberview Futurise di sini hari ini.
Hürjet ialah pesawat Advanced Jet Trainer dan Light Attack Aircraft, pesawat pertama dijangka siap pada suku akhir 2022.
Mengulas mengenai pejabat baharu itu, Kotil berkata ia akan menjadi pejabat kejuruteraan dan reka bentuk pertama syarikat itu di Asia Tenggara dan syarikat itu akan meneruskan pelaburan serta kerjasamanya di Malaysia untuk pembangunan teknologi generasi baharu, khususnya dalam industri pertahanan dan penerbangan.
Sementara itu, Azmin dalam ucapannya berkata hubungan dua hala Malaysia dan Turki semakin kukuh.
“Malah pada minggu lalu, pegawai MITI diketuai Setiausaha Agung saya berada di Ankara, Turki untuk bertemu pegawai perdagangan Turki bagi berunding mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.
"Apabila dimuktamadkan kelak, FTA itu akan meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan elektronik. Perbincangan itu telah mencapai kemajuan dan kedua-dua pihak berada di landasan tepat untuk memuktamadkan rundingan ‘text-based’ menjelang akhir tahun ini dan memuktamadkan keseluruhan pakej FTA pada pertengahan 2022," katanya.
Sementara itu, Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci dalam ucapannya berkata terdapat 62 projek industri pertahanan masih berjalan di Turki pada 2002, kini jumlah itu sudah melebihi 750.
"Kami gembira melihat syarikat industri pertahanan Turki terlibat dalam banyak projek kerjasama termasuk di Malaysia," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai