‘Siasatan ke atas peranan Zeti dalam 1MDB tak selesai semasa tempoh saya’
Siasatan terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz dan suaminya berhubung skandal 1MDB tidak selesai atau ditutup semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, kata bekas peguam negara Tommy Thomas.
Katanya, siasatan oleh SPRM ketika itu membolehkan tujuh atau lapan pendakwaan terhadap beberapa pihak yang berbeza.
“Pada peringkat itu, kertas siasatan SPRM ke atas Zeti dan lain-lain, belum selesai. Saya tidak pernah berpeluang melihat kertas siasatan itu.
"Apa yang sayaingin katakan ialah jika kertas siasatan selesai dan ada kes yang kukuh serta meyakinkan, pendakwa raya akan melakukan yang perlu,” katanya dalam temu bual dengan bekas diplomat Dennis Ignatius di YouTube semalam.
"Jika bekas perdana menteri atau bekas timbalan perdana menteri tidak terlepas daripada pendakwaan, sudah pasti bekas gabenor bank pusat juga tidak akan terlepas,” katanya.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi Zeti susulan pendedahan dana AS$15.4 juta (RM65 juta) berkaitan 1MDB dimiliki oleh sebuah syarikat milik suaminya, Tawfiq Ayman.
SPRM berkata wang tersebut baru-baru ini dipulangkan oleh Singapura dan ia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik suaminya dan Samuel Goh.
Sementara itu, Thomas turut menolak tuduhan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengamalkan pendakwaan terpilih khususnya terhadap pemimpin Umno, ketika diterajuinya antara Jun 2018 dan Februari 2020.
Sebagai seorang profesional yang mengamalkan undang-undang selama empat dekad, Thomas berkata dia hanya membuat keputusan untuk mendakwa selepas yakin bahawa pihak pendakwaan boleh menang dalam perbicaraan.
“Terdapat kira-kira 20 hingga 25 keputusan yang saya buat dalam tempoh 20 bulan. Saya membuat keputusan berdasarkan bukti, kertas siasatan dan undang-undang.
"Sebagai peguam, saya akan bertanya sama ada kita boleh memenangi kes itu, atau tidak. Tidak adil meletakkan seseorang di kandang saksi atau di kandang tertuduh jika pihak pendakwaan tidak boleh menang. Itu sahaja kriteria yang saya gunakan.
"Itu (kriteria) sama saya gunakan terhadap presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali," katanya.
Thomas juga disoal mengapa kes rasuah tertentu, termasuk yang melibatkan individu tertentu dari Sarawak, tidak didakwa.
"Mengapa kami mendakwa a,b dan c dan bukan x, y dan z ? Jawapannya sangat mudah, siasatan telah ditutup atau selesai dan kertas siasatan dihantar kepada kami.
“Tetapi, contoh yang kamu sebutkan, semua kertas siasatan itu tidak pernah sampai ke saya semasa memegang jawatan," katanya.
Bulan lalu, Najib Razak meyaman Thomas berhubung dakwaan berlaku salah pendakwaan ke atas bekas perdana menteri itu bagi beberapa kes jenayah.
Najib mendakwa bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat serta kecuaian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai