Skip to main
Logo Malaysiakini

PH Sarawak putuskan tidak guna logo bersama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sarawak memutuskan untuk tidak menggunakan logo sama untuk pilihan raya negeri pada 18 Disember ini.

“Kita akan bertanding guna bendera masing-masing.

"Amanah akan guna bendera Amanah, DAP guna roket dan PKR (bendera) mata biru,” kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, menjawab soalan pemberita.

PH sebelum ini memutuskan bahawa logo bersama tidak akan dikuatkuasakan secara ketat di Sarawak.

Sementara itu, Chong berkata platform kempen utama PH adalah untuk rakyat Sarawak menyuarakan bantahan terhadap kerajaan persekutuan Umno dan PAS pada pilihan raya negeri akan datang.

"Gabungan Parti Sarawak secara terbuka menyokong Umno dan PAS yang berada dalam kerajaan pusat. Kerajaan persekutuan Umno-PAS hanya akan membawa negara ke belakang. Tidak akan ada kemajuan.

“Kami berharap pilihan raya kali ini akan menyaksikan pengundi menghantar mesej yang jelas dengan menunjukkan mereka menolak GPS, PAS, dan Umno,” katanya.

Mengenai tuntutan PKR untuk mendapatkan lebih banyak kerusi, Chong menjawab secara ringkas: "Persetujuan terakhir ialah (mereka dapat) 47."

Wakil PKR Micheal Teo yang hadir tidak menjawab soalan itu.

Beberapa pemimpin PKR Sarawak secara terbuka menuntut DAP Sarawak menyerahkan kembali hak untuk bertanding bagi tiga kerusi di Miri.

Bagaimanapun, PKR Sarawak telah pun menyerahkan hak tersebut melalui perjanjian bertulis pada Januari lalu.