Penganalisis: Nik Abduh, Khairuddin dan Zuhdi dilantik untuk elak perpecahan
Penganalisis politik melihat keputusan PAS untuk melantik semula tiga pemimpin kanan yang tewas dalam pemilihan pada baru-baru ini dibuat untuk mengelak berlakunya perpecahan dalaman parti.
Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, penyertaan semula Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Mohd Khairuddin Aman Razali dan Mohd Zuhdi Marsuki menjadi ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menunjukkan parti terbabit sangat mementingkan kesepaduan.
"Walaupun ada perbezaan pandangan, tetapi ketiga-tiga tokoh itu penting kepada PAS. Kalau dipinggirkan dan tidak dilantik (semula) ia boleh menimbulkan jurang dan kemungkinan perpecahan dalam PAS.
"Justeru menjadi sesuatu yang munasabah ketiga-tiga pemimpin terbabit dilantik semula kerana peranan mereka juga penting.
"Sekiranya tidak dilantik mereka akan dianggap sebagai terpinggir dan akhirnya menjarakkan lagi jurang perbezaan pandangan dalam PAS," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Nik Abduh yang juga anggota Parlimen Bachok dan Mohd Khairuddin (MP Kuala Nerus) tewas dalam pemilihan AJK PAS Pusat baru-baru ini.
Mohd Zuhdi yang juga setiausaha politik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tewas dalam persaingan jawatan naib presiden.
Nampak tak begitu stabil
Mereka - khususnya Nik Abduh dan Mohd Khairuddin - dianggap pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama dengan Umno berbanding Bersatu.
Mazlan berkata pelantikan ketiga-tiga tokoh terbabit bukanlah dianggap sebagai usaha PAS memulihkan hubungan dengan Umno selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
"Sebab PAS sebelum ini menegaskan mereka mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) tetapi oleh kerana Umno tidak dapat menerima Bersatu namun PAS melihat antara hubungan Umno dengan Bersatu kedua-duanya penting.
"Jadi dalam konteks PRN Melaka, PAS memutuskan untuk bersama PN kerana mungkin hubungan dengan Bersatu nampaknya lebih baik berbanding hubungan dengan Umno yang nampak tidak begitu stabil dan nampak Umno sangat demand.
"Justeru keputusan PAS memilih Bersatu mungkin dibuat berdasarkan kepada pandangan kepimpinan PAS kerana Bersatu parti yang stabil dan setiakawan sifatnya.
"Tetapi tidak bermaksud PAS sudah memutuskan hubungan dengan Umno. Ruang itu masih terbuka," katanya.
Tak bawa mudarat politik
Tambah Mazlan, dia melihat PAS masih terbuka untuk kerjasama dengan umno namun ia bergantung kepada faktor keadaan politik selepas itu.
Penganalisis politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi juga berpendapat pelantikan semula ketiga-tiga individu itu dibuat PAS bagi memastikan tidak berlakunya perpecahan dalaman yang lebih teruk.
Jelasnya, jika berlaku ia akan menjadi perpecahan kedua di antara kelompok agama dan kelompok bukan agama dalam PAS selepas 2015 apabila sekumpulan tokoh tersingkirnya dari parti itu lalu membentuk Amanah.
"Jika ini berulang maka kedudukan PAS semakin rapuh untuk pilihan raya umum akan datang dan ini perlu dihindari.
"Namun Nik Abduh dan Khairuddin juga kelompok agamawan yang dilihat lebih mesra Umno dan BN, berbeza dengan kelompok saingan mereka dikenali 'grup Publika' PAS yang dekat dengan Bersatu dan mahu kerjasama erat dengan Bersatu pada PRU15 akan datang.
"Kedua-dua kelompok ini disantuni oleh presiden PAS agar persaingan ini tidak membawa mudarat politik hingga membawa perpecahan yang lebih besar kepada PAS," katanya yang juga pensyarah Universiti Malaya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai