Royalti Kelantan: Jawapan Zafrul tamatkan ‘gencatan senjata’ - NGO
Kumpulan pendesak royalti minyak Kelantan berkata akan menggerakkan kembali kempen mereka susulan jawapan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa tiada bayaran royalti dibuat.
Pertubuhan R Kelantan (Royalti) berkata mereka melaksanakan "gencatan senjata" sebelum ini bagi memberi ruang rundingan antara negeri dan pusat selepas kes ditarik balik di mahkamah.
“Terkini dengan jawapan rasmi dari YB Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz tersebut, maka pihak kami mengumumkan bahawa "gencatan senjata" yang dimeterai tersebut telah tamat, serta-merta!” kata presidennya Nazri Deraman.
Royalti berkata harapan kini tergalas atas bahu pemimpin Kelantan.
Nazri berkata, kerjasama politik antara PAS dalam kerajaan persekutuan harus digunakan sebaik mungkin.
“Gunakan kuasa politik sebagai king maker demi mendapatkan hak rakyat Kelantan sementara masa masih ada dan belum terlambat,” katanya.
Dalam jawapan bertulis parlimen semalam, Zafrul berkata pusat hanya menyalurkan wang ehsan kerana walaupun dekat, medan pengeluaran petroleum berada luar perairan Kelantan.
Isu royalti petroleum kepada Kelantan sering menjadi perdebatan dan diperjuangkan kerajaan Kelantan sejak sekian lama termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun pada Oktober 2018 Kelantan menarik balik saman tersebut susulan komitmen kerajaan pusat ketika itu bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang mahu membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.
Ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, wang it sudah disalurkan royalti namun Kelantan beranggapan ia sebagai wang ihsan.
Kelantan memfailkan saman ketika negeri terbabit ditadbir oleh allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bersama exco kanannya ketika itu, Husam Musa, Kelantan menyaman Petronas dan kerajaan pusat apabila Putrajaya tidak membayar royalti untuk minyak yang dicari gali di perairan negeri tersebut sejak 2004.
Saman terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan itu meliputi dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dan turut membabitkan isu perlembagaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai