Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perlu ada kesungguhan politik untuk turunkan harga barang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil langkah proaktif menurunkan harga barang makanan yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.

Harga makanan mentah atau basah seperti sayur, telur, ayam dan ikan naik melebihi 100 peratus. Harga minyak dan bahan mentah lain turut naik. Semuanya menambah beban rakyat yang sudah lama duhimpit kesan pandemik Covid-19.

Sudahlah kuasa beli (purchasing power) rakyat semakin lemah akibat kemerosotan ekonomi sejak Langkah Sheraton, kenaikan harga barang dan makanan ini umpama garam yang ditabur ke atas luka rakyat.

Kenaikan harga itu antara lain dikaitkan dengan peningkatan harga bahan input pertanian seperti racun dan baja.

Justeru, kerajaan digesa untuk menambah subsidi kepada bahan bakar dan memberikan insentif khas bagi menampung kos pengangkutan yang menjadi antara punca peningkatan kos tersebut.

Kerajaan perlu serius menangani masalah di peringkat rantaian bekalan (supply chain) supaya kos di peringkat itu terkawal dan seterusnya membendung sebarang kenaikan harga barang di pasaran.

Selain itu, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada industri input pertanian terbabit bagi menampung kos yang ditanggung mereka. Kerajaan juga boleh memperkenalkan harga siling bagi bahan mentah makanan popular seperti sayur, ayam dan telur.

Perlu bertindak segera

Pada masa sama, sokongan daripada pemain industri input pertanian dan makanan akan diperolehi dengan pemberian subsidi supaya margin keuntungan mereka tidak terjejas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) mempunyai kuasa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk mengawal harga barang serta mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau syarikat yang menaikkan harga barang secara melampau.

Pegawai KPDNHEP perlu turun padang lebih aktif untuk memeriksa harga jualan barang makanan terutama barang basah selain mengeluarkan kompaun serta mengambil tindakan undang-undang secara ketat terhadap pemborong dan penjual yang menaikkan harga secara melampau.

Di samping itu, akta berkenaan juga perlu segera dipinda bagi memberikan kuasa yang lebih kepada kerajaan mengambil langkah-langkah lebih berkesan mengawal harga barang.

Jika semasa mengawal isu keselamatan negara, kerajaan boleh mengubal dan meminda pelbagai undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Majlis Keselamatan Negara, kenapa dalam isu harga barang, kerajaan sepi tanpa tindakan?

Kerajaan perlu bingkas bertindak kerana isu ini melibatkan masalah kehidupan rakyat yang tulen (real).

Kerajaan boleh bertindak segera untuk mengawal harga barang dengan menggerakkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk mengambil langkah-langkah secara kolektif bagi memastikan sistem rantaian bekalan makanan berjalan dengan lebih berkesan tanpa gangguan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga dan kos.

Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula perlu lebih aktif membeli barang makanan basah seperti sayur dan ikan secara terus daripada golongan petani dan nelayan dan menjual secara langsung kepada rakyat di kawasan tumpuan terutama kawasan perumahan.

Kaedah ini mampu untuk mengelak penglibatan orang tengah yang seterusnya memastikan harga yang lebih munasabah dijual kepada pengguna.

Pada masa yang sama, ia dapat menjamin pulangan hasil yang lebih tinggi kepada petani dan nelayan.

Ketika ringgit begitu lemah

Bagi langkah tempoh panjang, kerajaan boleh menyediakan insentif khas untuk mewujudkan program satu zon hijau bagi setiap daerah dalam negara ini. Tanah-tanah terbiar di boleh dijadikan kawasan bercucuk tanam untuk masyarakat tempatan.

Program ini bukan saja dapat menjamin bekalan barang pertanian dan makanan yang cukup di setiap kawasan sekali gus mengurangkan harga, tetapi ia juga mencipta peluang pekerjaan kepada belia.

Jabatan dan agensi berkaitan terutama di bawah Mafi perlu lebih aktif memberi tunjuk ajar dan bantuan sokongan bagi merancakkan industri pertanian dalam kalangan belia.

Kerajaan tidak boleh selamanya bergantung kepada import untuk memastikan bekalan barang makanan mencukupi di pasaran. 

Mungkin untuk langkah jangka pendek, kerajaan boleh meningkatkan kadar import, tetapi ia bukanlah penyelesaian tuntas apatah lagi dengan kuasa ringgit yang sangat lemah akibat kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan hari ini.

Jumlah import pertanian sebanyak RM50 bilion setahun amat membimbangkan sedangkan negara kita mempunyai ruang dan peluang yang baik untuk memajukan industri pertanian dan makanan.

Kerajaan perlu ada kesungguhan politik (political will) untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran produk pertanian dan makanan tempatan bagi menjamin keselamatan makanan negara.


FAIZ FADZIL ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional dan Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.