Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP umum calon PRN Sarawak, sebahagiannya masih rahsia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | DAP Sarawak membayangkan pihaknya sanggup untuk "berkompromi" dengan parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam pilihan raya negeri yang dijadual berlangsung Disember ini.

Parti itu hari ini mengumumkan hampir semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan dilangsungkan pada bulan depan.

Bagaimanapun hanya 18 daripada 26 calon diumumkan dengan selebihnya dirahsiakan atas "sebab strategik".

Daripada calon di lapan kerusi DUN yang belum diumumkan, enam kerusi di Kuching manakala dua lagi di Sibu.

"Daripada lapan kerusi - enam adalah di Kuching iaitu Pending, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawah, Batu Kitang dan Stakan.

"Kita tidak umumkan (calon) kawasan ini atas sebab strategik.

"Dan dua lagi kawasan yang belum diumumkan adalah Dudong dan Bawang Assan di Sibu," kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam sidang media yang disiarkan secara dalam talian.

Chong berkata calon di lapan kerusi DUN tersebut akan diumumkan sebaik selepas lawan DAP mengumumkan calon mereka dan rundingan dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) selesai.

"Sebelum ini ada rundingan dengan PSB tetapi saya rasa ia tidak begitu berjaya. Bagaimanapun DAP sanggup untuk berkompromi dan masih membuka pintu untuk rundingan terakhir dengan PSB berkenaan kerusi.

"Ini adalah satu tanda yang menunjukkan keikhlasan kami yang kita perlu bekerjasama untuk melawan GPS.

"Berhubung enam kawasan di Kuching, ini kerana sebab strategik. Kita akan lihat siapa calon yang akan diturunkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

"Kita akan buat penyesuaian sewajarnya kerana di kawasan-kawasan ini, calon boleh berubah dan kerusi boleh ditukar, bergantung kepada lawan kita," katanya lagi.

Hari penamaan calon bagi PRN Sarawak adalah pada 6 Disember ini.

Gabungan pemerintah iaitu GPS - yang turut dianggotai SUPP - dijadual mengumumkan senarai penuh calon bagi 82 kerusi DUN pada 4 Disember.

Berikut senarai calon yang diumumkan DAP:

  • N2 Tasik Biru - Granda Aing
  • N19 Mambong - Chang Hong Siong
  • N22 Kedup - Laerry Anak Jabor
  • N23 Bukit Semuja - Brolin Nicholson Anak Benedict Achung
  • N24 Simanggang - Leon Jimat Donald
  • N45 Repok - Wong Pak Min
  • N46 Meradong - Yong Siew Wei
  • N51 Bukit Assek - Irene Mary Chang Oi Ling
  • N54 Pelawan - David Wong Kee Woan
  • N61 Pelagus - Solomon Anak Kumbong
  • N63 Bukit Goram - Joseph Jingut
  • N64 Baleh - Kenneth Lagong
  • N68 Tanjong Batu - Tony Chiew
  • N69 Kemena - John Bryan Anthony Anak Guan
  • N70 Samalaju - Ung Cheng Chak
  • N73 Piasau - Peter Hee Leh Keng
  • N74 Pujut - Alan Ling Sie Kiong
  • N75 Senadin - Marcus Hugo

[Baca berita asal]