Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita jadi ketua: Wan Saiful bela PAS, ingatkan Amanah muzakarah di UK

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mengingatkan pemimpin Amanah berhubung muzakarah pimpinan tertinggi PAS yang diadakan di Pusat Islam Markfield di United Kingdom, pada 1999.

Wan Saiful berkata muzakarah itu dibuat bagi mendapatkan pandangan ulama besar mengenai beberapa isu termasuk kedudukan wanita sebagai ketua kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Mungkin ramai aktivis Amanah yang terlalu muda dan tidak tahu mengenai muzakarah ini. Tetapi ada antara yang hadir dalam muzakarah itu menjadi pemimpin Amanah sekarang.

“Tujuan muzakarah itu ialah untuk membolehkan pemimpin tertinggi PAS mendapatkan pandangan ulama-ulama besar mengenai beberapa isu, termasuklah boleh atau tidak seorang wanita mengetuai kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Saiful berkata demikian bagi mengulas dakwaan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, bahawa pendirian PAS berubah-ubah mengenai pelantikan wanita ke jawatan tertinggi.

Mat Sabu berkata demikian dengan mengambil contoh bantahan PAS terhadap pencalonan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik menjadi menteri besar Selangor pada 2014, namun menyokong usaha Perikatan Nasional (PN) mengangkat Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri Melaka baru-baru ini.

Wan Saiful berkata ulama yang dirujuk dalam muzakarah itu ialah Sheikh Yusuf Qaradhawi, Rached Ghannoushi dan Shaikh Kamal ElHelbawy.

Patut tahu sikap PAS

Ketika itu katanya kira-kira 20 orang pemimpin PAS Pusat hadir dengan diketuai oleh Allahyarham Fadzil Nor dan disertai Abdul Hadi Awang dan Wan Saiful sendiri selaku penganjur muzakarah itu sekali gus mendengar perbicangan sepenuhnya.

“Perbincangan mendalam berlaku semasa muzakarah. Pelbagai pandangan diutarakan dan akhirnya kefahaman yang dicapai ialah wanita harus dipilih menjadi pemimpin kerajaan.

“Saya melihat PAS sentiasa konsisten dalam isu pemimpin wanita. Muzakarah di Markfield itu mengabsahkan pandangan mengenai letak duduk kemuliaan seorang wanita dalam institusi pentadbiran,” katanya.

Menurut Wan Saiful, sebelum ini ramai wanita PAS bertanding dalam pilihan raya, menjadi wakil rakyat dan memegang pelbagai jawatan dalam badan eksekutif negeri serta negara.

Malah, katanya Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari juga menjelaskan bahawa sikap PAS kes Wan Azizah di Selangor adalah isu merit, bukan gender.

“Apabila merit dijadikan ukuran, sudah tentulah ada yang layak dan ada yang tidak, tanpa mengira gender.

“Jadi adalah tidak benar jika ada mana-mana pihak mahu memberi konotasi negatif mengenai sikap PAS terhadap martabat wanita.

“Apatah lagi jika insinuasi itu datang daripada pemimpin Amanah yang berasal daripada PAS dan sepatutnya tahu sikap sebenar PAS berkaitan isu ini,” tambahnya.

Kata Wan Saiful, semua pihak boleh berbeza pandangan tetapi jangan sehingga mencipta insinuasi yang salah terhadap saingan politik.

Untuk rekod, pada 2014 PAS berkeras menolak menyokong Wan Azizah yang ketika itu menjadi presiden untuk menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Cubaan PKR itu - yang dikenali sebagai Langkah Kajang - gagal selepas PAS tidak memberikan dukungan di sebalik posisi parti berkenaan menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.

Bagaimanapun, PAS memberikan sokongan penuh kepada calon PN, Mas Ermieyati untuk dilantik sebagai ketua menteri Melaka, jika gabungan itu berjaya menawan negeri tersebut dalam PRN lalu.