ULASAN | Rakyat Sarawak berhak dapat PRN adil demi demokrasi
ULASAN | Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baru sahaja berakhir, kini tumpuan seluruh negara terarah kepada PRN Sarawak pula selepas ia diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa hari lalu.
Bersih mengikuti dengan dekat pengumuman oleh SPR tersebut.
Kami memandang serius tempoh berkempen - iaitu hanya 12 hari - yang terlalu singkat. Ia sama seperti ditetapkan SPR untuk PRN Melaka sebelum ini dan sekarang untuk PRN Sarawak.
Sarawak adalah negeri terbesar dan mempunyai bilangan kerudi dewan undangan negeri (DUN) terbanyak di Malaysia, maka mustahil tempoh berkempen sesingkat itu dapat memberi keadilan kepada pengundi dan calon yang bertanding.
Sebelum ini pun, pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRN Sabah, SPR memperuntukkan 14 hari bagi tempoh berkempen.
Sewajarnya, tempoh ideal untuk waktu berkempen bagi PRN Sarawak kali ini ialah sekurang-kurangnya 21 hari supaya undi pos sempat sampai ke peti undi dan calon serta parti mempunyai lebih masa untuk berkempen dalam keadaan terkawal ekoran ancaman pandemik.
Walaupun hari pengundian jatuh pada Sabtu namun masih terdapat banyak syarikat, organisasi atau individu yang bekerja pada hari tersebut. Justeru Bersih menyarankan kerajaan Sarawak mengumumkan 18 Dis nanti sebagai hari kelepasan am khas, sama seperti diumumkan kerajaan Melaka.
Sambutan Krismas menyusul
Langkah itu perlu dibuat bagi memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada para pengundi keluar membuang undi.
Bersih juga mencadangkan supaya sekurang-kurangnya satu pusat pengundian khas disediakan di setiap negeri bagi membenarkan pengundi Sarawak membuang undi di mana saja mereka berada dalam Malaysia.
Untuk rekod, dianggarkan sejumlah 250,000 orang rakyat Sarawak menetap di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Mengikut semakan semasa harga tiket kapal terbang dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak hampir mencecah RM3,000.
Amatlah tidak adil untuk pengundi Sarawak - lebih-lebih lagi yang kurang berkemampuan - untuk membiayai kos perjalanan semahal itu bagi menjalankan tanggungjawab mereka.
Juga mustahil untuk pengundi berulang-alik sebanyak dua kali dalam tempoh singkat memandangkan perayaan Krismas jatuh pada minggu berikutnya.
Bersih mendesak supaya prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak benar-benar dikaji supaya peraturan yang tidak masuk akal seperti di PRN Melaka tidak berulang.
Memandangkan faktor geografi, kekurangan infrastruktur dan akses maklumat yang amat terhad di Sarawak - khususnya di pedalaman dan pinggir bandar - kempen bersemuka amatlah mendesak dan perlu dibenarkan.
Calon-calon bertanding berhak menyampaikan maklumat kempen kepada pengundinya. Sementelah bagi pengundi untuk celik membuat pilihan dengan baik siapakah calon-calon yang bakal membawa suara mereka kelak dalam DUN.
Kerajaan melalui SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah mengeluarkan SOP baru yang lebih adil kepada semua demi mewujudkan persaingan yang adil di atas padang yang sama rata.
SOP sewajarkan dikeluarkan sesegera yang mungkin iaitu sebelum hari penamaan calon agar semua pihak terlibat mempunyai waktu persiapan yang cukup.
Akhir sekali, Bersih meminta supaya saluran televisyen milik kerajaan seperti RTM dan TVS menawarkan ruang dan peluang kempen secara percuma kepada semua calon yang berkempen di Sarawak secara adil.
Ia akan membantu calon yang kurang berkemampuan dari segi jentera dan wang untuk menyampaikan tawaran-tawaran mereka kepada pengundi dengan lebih baik.
PRN Sarawak yang ke-12 kali ini harus berjalan dengan adil dan saksama demi menjamin masa depan rakyat Sarawak yang cerah dan makmur.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai